WEISS calon luar negara  manakala Kim Swee calon tempatan.
WEISS calon luar negara manakala Kim Swee calon tempatan.

Petaling Jaya: Tiga calon untuk mengisi jawatan ketua jurulatih Bawah 23 (B-23) negara bagi menggalas misi meraih pingat emas Sukan SEA 2017 dilihat mempunyai peluang seimbang.

Itu kesimpulan pengerusi panel pemilihan Datuk Mohd Junid Mohd Noor selepas menemuramah Datuk Ong Kim Swee serta dua calon dari Jerman Michael Weiss dan Frank Bernhardt.

“Pada saya semua calon menepati apa yang diharapkan FAM. Panel pemilihan seramai lima orang hari ini (semalam) tidak dapat membuat keputusan namun akan mengemukakannya kepada pasukan bertindak khas yang diketuai Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad untuk membuat keputusan.

“Jadi keputusan calon yang terpilih dijangka akan diketahui Isnin ini. Kami mahu segera memuktamadkan pilihan kerana masa semakin suntuk,” katanya.

Jelasnya lima anggota panel pemilihan itu termasuk pengarah teknikal FAM Fritz Schmid dan B Sathianathan akan dipanggil Isnin ini untuk mengemukakan pilihan masing-masing.

Kecuali Kim Swee yang sudah terbukti kemampuannya meraih pingat emas Sukan SEA 2011, Weiss dan Bernhardt masih asing dengan kancah bola sepak tempatan sekali gus berdepan risiko besar dalam memenangi ibu segala pingat pada temasya utama Asia Tenggara itu.

Weiss pernah mengendalikan Filipina dari 2011 hingga 2014 namun pencapaiannya di sana banyak dibantu dengan kehadiran pemain naturalisasi dan tidak banyak pencapaiannya boleh diperkatakan manakala Bernhardt pernah menjadi jurulatih B-19 Estonia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 9:01 AM