Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Mayat lelaki yang dipercayai dibunuh dan dicampak ke bawah jambatan di Kilometer 8 Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, dikenali sebagai Joevani Ahmed, 41.

Mangsa berkenaan dikenalpasti melalui pemeriksaan cap jari dan pengecaman oleh ahli keluarganya.

Seorang ahli keluarga mangsa yang hadir menuntut jenazah mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, berkata dia mendapat maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa selepas dihubungi polis, kira-kira 3 petang semalam.

"Polis menghubungi saya dan meminta saya hadir ke HRPB, hari ini, untuk pengecaman mayat serta mengambil sampel DNA bagi ujian lebih teliti.

"Saya sudah tidak bertemu dengan arwah lebih lima tahun dan difahamkan mangsa juga sudah lama tidak pulang ke rumah untuk bertemu isteri serta tujuh anaknya," katanya yang tiba di HRPB dari Pulau Pinang.

Menurutnya, jenazah mangsa sudah dibenarkan untuk dituntut dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kepayang, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 3:34 PM