Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Sembilan lagi mayat mangsa bot karam belum dituntut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, sehingga petang semalam.

Sumber memberitahu Harian Metro, 14 mayat yang berada di hospital berkenaan dituntut keluarga dan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar ke Indonesia, semalam.

Katanya, semua mayat mangsa yang dituntut dijangka dihantar ke Surabaya dan Medan, Indonesia manakala proses membawa pulang mayat diuruskan Kedutaan Indonesia.

“Pihak hospital hanya membantu proses bedah siasat dan pengecaman mayat manakala selebihnya termasuk urusan membawa pulang diuruskan wakil kedutaan.

“Urusan pengecaman mayat akan berterusan beberapa hari sehingga semua mayat dibawa pulang ke negara mereka,” katanya.

Difahamkan 29 mayat selesai dibedah siasat dengan pecahan 23 di HRPB dan enam di Hospital Teluk Intan manakala 10 di Hospital Sabak Bernam dan 23 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 5:19 AM