JENAZAH seorang daripada mangsa bot karam dituntut oleh waris untuk dihantar pulang ke Indonesia. FOTO Muhammad Apendy Issahak
JENAZAH seorang daripada mangsa bot karam dituntut oleh waris untuk dihantar pulang ke Indonesia. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Sepuluh jenazah mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam, Selangor yang ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, sudah dituntut oleh waris mereka untuk dibawa pulang ke Indonesia.

Difahamkan tujuh jenazah sudah dituntut malam tadi dan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar ke kampung halaman masing-masing.

Proses menghantar pulang tiga lagi jenazah sedang dilakukan di HRPB ketika ini oleh ahli keluarga mangsa dengan dibantu oleh wakil pihak Kedutaan Indonesia.

Ketiga-tiga jenazah yang beragama Islam itu dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan terlebih dahulu di sini dan akan dibawa menaiki kenderaan khas yang disediakan pihak Kedutaan Indonesia.

Keseluruhannya 23 mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk dibedah siasat pada Jumaat dan Sabtu lalu sebelum dikenalpasti oleh ahli keluarga yang hadir ke sini untuk proses pengecaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2015 @ 4:15 PM