Surabaya: Pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI), Polis Antarabangsa (Interpol) melakukan lawatan kejutan ketika pasukan DVI Indonesia sedang sibuk melakukan pengecaman mayat mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Beberapa anggota Interpol itu tiba kira-kira jam 12 tengah hari dengan diketuai penyelaras DVI Interpol, Simon Djidrovski.

"Interpol melakukan lawatan kejutan ini untuk menyokong tugas DVI Indonesia. Penghargaan kepada pihak berkuasa Indonesia yang melakukan tugas dengan bagus," kata Djidrovski.

Menurutnya, pasukan DVI Indonesia bekerja mengikut standard antarabangsa dan tugas pengecaman keadaan mayat dan data dilakukan secara teliti.

"Polis di sini sudah melakukan segala dengan berkesan untuk memadankan bahagian tubuh," katanya.

Djidrovski juga menyatakan, senang hati melihat kerjasama antara anggota DVI dari beberapa negara seperti Malaysia, Korea Selatan, dan Australia dalam membantu kes ini.

“Kerjasama secara profesional akan membolehkan mayat dapat dipulangkan kepada ahli keluarga dengan cepat,” katanya. - Metrotvnews.com

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 4:03 PM