MANGSA (kiri) dipercayai meninggal dunia akibat didera.
MANGSA (kiri) dipercayai meninggal dunia akibat didera.
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh penjaganya di kediaman mereka di Klebang Jaya, di sini petang semalam.

Mangsa, Nor Saraniya Abdullah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang dihubungi penjaganya selepas mangsa tidak sedar diri dan mengalami pendarahan pada mulut.

Bapa mangsa, Mohamad Hajimeer Dollah, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di Gua Musang kerana bekerja sebagai pemandu lori, manakala isterinya Halimah Abdullah, 38, berada di Muar, Johor juga kerana urusan kerja.

Menurutnya, dia mendapat berita mengenai kejadian itu kira-kira 7 petang semalam daripada isterinya yang dihubungi oleh penjaga berkenaan.

"Pagi ini ketika saya melihat jenazah anak bongsu saya itu di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), mendapati anak saya itu ada kesan darah pada mulutnya.

"Bagaimanapun, saya tidak ditunjukkan keadaan badan anak saya, namun pihak forensik memberitahu terdapat kesan luka di badannya dipercayai didera," katanya ketika ditemui di HRPB, hari ini.

Mohamad Hajimeer berkata, anak sulungnya yang berusia enam tahun juga dijaga oleh penjaga berkenaan dan turut mengalami kesan luka di seluruh bahagian badan dipercayai didera.

Sementara itu, dua wanita yang dipercayai penjaga kanak-kanak malang terbabit yang turut berada di Jabatan Forensik HRPB, di sini ditahan polis 2.20 petang tadi untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 3:29 PM