Muhamad Fikri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Tualang 7, Kampung Kepayang, Ipoh, 5.40 petang hari ini, ketika menjala ikan di sungai berkenaan. FOTO ihsan bomba
Muhamad Fikri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Tualang 7, Kampung Kepayang, Ipoh, 5.40 petang hari ini, ketika menjala ikan di sungai berkenaan. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai dekat Kampung Tualang 7, Kampung Kepayang, Ipoh, 5.40 petang hari ini, ketika menjala ikan di sungai berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Abd Hadi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota yang tiba kemudiannya mendapati mayat mangsa iaitu Muhamad Fikri Jaafar, 21, sudah berjaya dibawa naik ke tebing oleh orang awam.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang menjala ikan sebelum jala digunakannya tersangkut di kawasan air deras menyebabkan mangsa yang cuba menariknya terjatuh.

"Keadaan arus deras menyebabkan mangsa tenggelam dan dibawa arus sebelum orang awam yang mencari mangsa sebelum bomba tiba berjaya menemuinya di kawasan berhampiran.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan jam 6.49 petang," katanya.

Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 8:09 PM