JENAZAH mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, Ipoh, malam ini. Foto ABDULLAH YUSOF
JENAZAH mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari, Ipoh, malam ini. Foto ABDULLAH YUSOF
Muhammad Apendy Issahak; Zahratulhayat Mat Arip dan Farah Suhaidah Othman


AHLI keluarga mangsa tragedi letupan dan kebakaran premis perniagaan pengaturcara majlis di Kawasan Perindustrian Jelapang Maju, Ipoh berasa syukur dan lega apabila semua jenazah sudah boleh dituntut, hari ini.

Bapa mangsa, Abdul Rahman Bahak, 45, berkata keluarganya dimaklumkan oleh pihak polis kira-kira jam 4.45 petang berhubung kelulusan menuntut jenazah anaknya.

“Syukur, Alhamdulillah, semua jenazah boleh dituntut hari ini... lega rasanya dan tidaklah kami tertunggu-tunggu untuk menguruskan jenazah kesemua arwah.

“Kalau kena tunggu DNA (ujian asid deoksiribonukleik) mungkin seminggu tidak selesai lagi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini.

Menurutnya, selepas selesai urusan dokumentasi, kesemua lima jenazah akan dibawa ke Masjid Kuala Pari, Menglembu untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Pari.

Seorang lagi bapa, Aminuddin Tan, 50, berkata semua ahli keluarganya juga lega apabila urusan menuntut jenazah dapat dilakukan, hari ini.

“Selepas selesai dokumentasi saya dan isteri dibenarkan melihat jenazah anak yang dimandi dan dikafankan di Jabatan Forensik HRPB ini.

“Sampel darah semua ahli keluarga juga diambil bagi tujuan DNA untuk tindakan pihak berkuasa selepas ini, kerana pengecaman yang dibuat bagi membolehkan jenazah dituntut adalah berdasarkan rekod pergigian dan keadaan fizikal mangsa yang boleh dicam ahli keluarga,” katanya.

Difahamkan, majlis pengebumian akan dijalankan selepas solat Isyak malam ini.

Sementara itu, jasad pemilik premis P Thiagarajan, 40, juga dituntut ahli keluarganya dan urusan pengebumian yang dijangka dilakukan, esok.

Berita berkaitan

Mayat mangsa masih belum boleh dituntut

Kerajaan Perak tanggung kos pengurusan jenazah [METROTV]

Insiden rumah kedai meletup: Bomba teliti CCTV

Lima sahabat disemadi bersama

[UPDATE] Mak, tolong... [METROTV]

Enam maut dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 7:05 PM