Oleh Muhammad Apendy Issahak

Gerik: Mayat lelaki yang dipercayai dibunuh ditemui di bawah jambatan di Kilometer 8, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik Deputi Superintendan Jamalani Mohd Isa, berkata mayat ditemui, kira-kira 2 petang, Ahad lalu, oleh selumpulan tiga lelaki yang berhenti di atas jambatan terbabit untuk merakamkan gambar pemandangan.

“Polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat itu, pada 2.28 petang. Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mayat itu tertiarap dengan hanya memakai seluar panjang tanpa baju.

"Siasatan turut mendapati tangan serta kaki mangsa terdapat pita pelekat dipercayai untuk mengikat mangsa selain terdapat kesan darah di tebing jambatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum dicampak dari atas jambatan itu.

Katanya, berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat, mangsa dipercayai sudah mati antara dua hingga empat hari sebelum ditemui.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan mangsa dipercayai warga tempatan berusia 30-an. Mayat dihantar ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) Ipoh. Hasil bedah siasat mendapati lelaki itu meninggal dunia akibat hentakan kuat objek tumpul dan berat dibahagian dada," katanya.

Menurutnya, orang ramai ada kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Gerik untu membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 3:55 PM