KHAIRY (tengah) bersama mahasiswa  pada Persidangan PEMANAS di PWTC, semalam.
KHAIRY (tengah) bersama mahasiswa pada Persidangan PEMANAS di PWTC, semalam.

Kuala Lumpur: Mahasiswa digesa tidak mendengar khabar angin yang sering disebar melalui media sosial kerana kebanyakan perkhabaran itu tidak tepat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, dia tidak mahu mahasiswa tertipu dengan khabar angin yang tidak tepat.

“Kebanyakan cerita buruk mengenai kerajaan sengaja direka pihak tertentu atas kepentingan masing-masing.

“Rata-rata berita tersebar didapati hanyalah manipulasi daripada kenyataan pemimpin yang menjawab sesuatu isu,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan pimpinan mahasiswa seluruh negara pada Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 3.0 di PWTC, di sini, semalam.

Menurutnya, selaku pemimpin golongan belia, beliau mahu mahasiswa menyelidik terlebih dulu sesuatu perkhabaran yang diterima.

“Pada masa sama, mereka (mahasiswa) harus menyebarkan cerita sebenar melalui pendekatan yang disenangi seperti media sosial dan perkhabaran sesama rakan sebaya,” katanya.

Ketika sesi dialog bersama mahasiswa itu, Khairy turut menyambut baik cadangan seorang peserta supaya kerajaan memperkasakan khidmat ‘cyber trooper’ bagi menjawab sesuatu isu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 3:57 AM