KUALA LUMPUR: Umno tidak pernah meminggirkan suara generasi muda terutama mahasiswa dalam agenda perjuangan politiknya bagi membentuk masa depan parti yang kukuh, kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata Umno menghargai dan menyedari peranan penting golongan mahasiswa yang merupakan pewaris negara dan pemimpin masa depan.

“Dalam konteks Umno, kita tidak pernah mengetepikan ketokohan yang ada pada para perwakilan muda terutama daripada Kelab Umno Luar Negara yang mempunyai bakat dan cita-cita.

“Golongan itu dibawa bersama sewaktu Perhimpunan Agung Umno, untuk diasuh berpolitik dan memahami perjuangan politik untuk masa depan bangsa Melayu,” katanya kepada Bernama, selepas jamuan tengah hari bersama perwakilan Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (Pemanas) hari ini.

Persidangan dua hari yang berakhir hari ini diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 yang akan bermula Selasa hingga 29 Nov.

Ab Rauf berkata Umno juga tampil dengan inisiatif tersendiri dari semasa ke semasa, dan perhimpunan kali ini memberi ruang kepada golongan muda dan mahasiswa dalam negara menyuarakan pandangan mereka sebagai perwakilan yang akan berucap pada sesi perbahasan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 November 2014 @ 4:46 PM