AHMAD Shabery beersama peserta debat PEMANAS.
AHMAD Shabery beersama peserta debat PEMANAS.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur : Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional 2014 (PEMANAS) menjadi medan penting buat mahasiswa dalam melatih diri menjadi pemimpin dalam menzahirkan idea bernas, sekali gus mengutarakan isu semasa dalam negara.

Persidangan itu yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) turut menggunakan format ‘mini Parlimen’ berlangsung dua hari dan berakhir semalam turut membawa pelbagai isu membabitkan bidang agama, pendidikan, ekonomi dan politik.

Ia juga dijadikan platform untuk mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara untuk bertukar idea serta berbahas terhadap usul dibawa pihak lain tidak ubah seperti perbahasan Parlimen sebenar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, modul mini Parlimen itu dipilih sepanjang persidangan itu bagi melatih mahasiswa bercakap, berhujah serta bertukar pandangan dan membiasakan mereka dengan konsep perbahasan Parlimen.

Menurutnya, mahasiswa yang menuntut di IPT tempatan dan luar negara dibahagian mengikut pecahan kumpulan tertentu dan setiap daripada mereka diberi tajuk untuk dikupas serta diperbahaskan dalam persidangan berkenaan.

“Dalam sesi persidangan terdahulu, ia disertai mahasiswa luar negara saja memandangkan mahasiswa tempatan terikat dengan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU).

“Namun, sejak akta itu dipinda beberapa tahun lalu, ia memberi peluang kepada mahasiswa tempatan untuk turut sama menggunakan platform berkenaan berkongsi idea serta pandangan baru dalam isu semasa negara,” katanya selepas menyaksikan Pemanas 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Ahmad Shabery berkata, topik serta percambahan idea hasil daripada persidangan itu mampu memberi input kepada pucuk pimpinan untuk menambah baik dasar sedia ada sekali gus memberi peluang kepada generasi muda.

Beliau berkata, platform itu turut berperanan sebagai usaha untuk merapatkan jurang antara golongan mahasiswa dan kerajaan sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk memberi idea bernas pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:08 AM