STEVE (dua dari kiri) bersalaman dengan Yeoh pada Persidangan Peningkatan Kemahiran Untuk Memenuhi Keperluan Industri IMI.
STEVE (dua dari kiri) bersalaman dengan Yeoh pada Persidangan Peningkatan Kemahiran Untuk Memenuhi Keperluan Industri IMI.

Kuala Lumpur: Bermaz Motor Sdn Bhd (Bermaz), pengedar tunggal kenderaan Mazda di Malaysia masih mengekalkan harga kenderaannya biarpun beberapa syarikat automotif lain akan menaikkan harga akibat kelemahan ringgit ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ben Yeoh berkata, pihaknya masih mengekalkan harga kenderaan berikutan menggunakan mata wang Yen untuk membeli kenderaan yang sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pertukaran mata wang Yen dengan ringgit boleh dianggap stabil berbanding dolar Amerika Syarikat yang dilihat begitu ketara.

“Majoriti kenderaan yang dijual adalah model pemasangan tempatan (CKD), malah rakan kami iaitu Mazda Motor Corporation turut membantu mengurangkan harga kos dengan menggunakan lebih banyak komponen tempatan.

“Bagi beberapa model import sepenuhnya (CBU) pula, kami akan melakukan pemotongan kos operasi supaya tidak berlaku kenaikan harga kenderaan,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Peningkatan Kemahiran Untuk Memenuhi Keperluan Industri yang dianjurkan oleh Institute of the Motor Industry (IMI) di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IMI, Steve Nash.

Bagaimanapun Yeoh memaklumkan bahawa, pihaknya akan menaikkan harga kenderaannya sekiranya tidak lagi mampu menanggung keadaan ringgit yang semakin lemah pada masa akan datang.

Beliau berkata, Bermaz akan melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi Mazda CX3 tidak lama lagi dan beberapa lagi model pada 2016.

Katanya, pelancaran baru itu akan mengukuhkan lagi penguasaan pasaran syarikat yang pada masa ini mencatatkan antara dua hingga 2.5 peratus.

Sementara itu, Nash berkata, Malaysia mempunyai potensi yang kukuh untuk dijadikan hub latihan bagi kenderaan elektrik di rantau ini.

Menurutnya, IMI bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam menyediakan latihan sokongan menerusi rangkaian kolej komuniti yang menekan kenderaan elektrik dan hibrid dalam sasaran menjadikan hub EEV di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2015 @ 5:43 AM