PRAPELANCARAN Mazda CX-5 dan pusat mengecat baru di Kulim.
PRAPELANCARAN Mazda CX-5 dan pusat mengecat baru di Kulim.
Mohd Razlan Salleh

Kulim: Mazda Malaysia melabur sebanyak RM87 juta dengan membina pusat mengecat baru dan melakukan rombakan laluan pengeluaran kenderaan untuk tujuan eksport.

Pegawai Eksekutif Urusan (Pengeluaran Global) Mazda Motor Corporation Masatoshi Maruyama berkata, dengan ada pusat mengecat baru itu, pihaknya kini mampu menawarkan warna eksklusif Mazda yang lebih premium kepada pelanggan.

“Pusat mengecat baru di Kilang Mazda Kulim ini setanding dengan kilang induk kami di Jepun, selain China, Thailand dan Mexico.

“Warna premium eksklusif Mazda yang akan ditawarkan antaranya Soul Red Crystal dan Machine Gray,” katanya ketika menghadiri Prapelancaran Mazda CX-5 dan Pusat Mengecat Baru di Kilang Mazda Kulim, semalam.

Hadir sama Pegawai Eksekutif Urusan (Perniagaan ASEAN)Hiroshi Inoue, Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Auto Bhd Datuk Seri Ben Yeoh Choon San dan Pengarah Urusan INOKOM Corporation Sdn Bhd Mohd Rizal Jailan.

Maruyama berkata, pusat mengecat terbaru itu juga membolehkan Mazda meningkatkan pengeluaran termasuk mengeksport Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) CX-5 baru ke pasaran ASEAN.

“Model baru ini (CX-5) ini akan dieksport ke Thailand, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Myanmar,” katanya.

Terdahulu pada majlis prapelancaran itu,lima varian CX-5 diperkenalkan dengan harga bermula daripada RM134,605.50 hingga RM175,179.10 tanpa insurans.

Antaranya 2.0L GL Sky
Activ-G (RM134,605.50),
2.0 GLS SkyActiv-G (RM148,605.50), 2.5 GLS SkyActiv-G (RM160,996.70), 2.2L GLS SkyActiv-D 2WD (RM164,579.10) dan versi diesel 2.2L GLS SkyActiv-D AWD (RM175,179.10).

Sementara itu, Presiden Mazda Malaysia Shinji Sakatani berkata, model CX-5 baru pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang itu akan dieksport ke ASEAN.

“Saya bangga apabila kilang ini sudah dilengkapi teknologi mengecat terkini setaraf kilang induk kami di Jepun selain prapelancaran CX-5 Baru.

“Keseluruhannya, standard kualiti SUV ini setanding model diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun walaupun menggunakan 40 peratus bahan tempatan,” katanya.

Menurutnya, Mazda Malaysia menjadi hab pengeluaran di rantau ASEAN sejak 2012 dan berharap kapasiti pengeluaran dapat ditingkatkan dengan pengenalan model CX-5 baru.

“Secara purata, angka jualan Mazda di pasaran ASEAN sekitar 13,000 unit setahun,” katanya.

Model SUV Mazda CX-5 bakal dieksport ke negara anggota ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 4:24 AM