Pengerusi Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh (kanan) dan Pengurus Kilang, Mazda Malaysia Sdn Bhd, Hajime Sasaki.
Pengerusi Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh (kanan) dan Pengurus Kilang, Mazda Malaysia Sdn Bhd, Hajime Sasaki.
Lizam Ridzuan


BERMAZ Motor Sdn Bhd, pengedar utama kenderaan jenama Mazda di negara ini menyasarkan jualan sebanyak 2,000 unit setahun untuk model Mazda CX-8 Serba Baharu yang dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ben Yeoh berkata, kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan (CKD) itu disasarkan buat golongan yang sudah bekeluarga atau pembeli yang gemarkan aktiviti luar dengan ciri ruang dan prestasi.

“Ia dilengkapi dengan tiga baris tempat duduk serta tiga pilihan susun atur sama ada 2-3-2, 2-2-2 dan 2-2-2 berkonsol tengah pada baris kedua melalui empat model varian yang ditawarkan,” katanya pada majlis pelancaran di Kulim, hari ini.

Empat varian itu ialah 2.5L 2WD MID, 2.5L 2WD MID Plus, 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD (Diesel) dengan kotak gear transmisi 6 kelajuan Skyactiv Drive.

Model berkenaan dilengkapi sistem infotainmen dengan Apple CarPlay dan Android Auto melalui paparan Mazda Connect bagi ketersambungan aplikasi lain seperti Waze, Google Maps dan Spotify.

Ciri lain ialah teknologi i-Activsense seperti Monitor Titik Buta dengan Amaran Trafik-Lintas Belakang (RCTA) dan Bantu Brek Bandar Pintar.

“Melalui pengenalan model ini, kami menjangkakan terdapat peningkatan penguasaan pasaran yang mana ketika ini Mazda berada pada kedudukan 2.3 peratus,” katanya.

Terdapat enam pilihan warna ditawarkan iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver dan Jet Black.

Mazda CX-8 Serba Baharu dibuka untuk tempahan pada harga yang akan diumumkan kelak dengan lima tahun waranti pengeluar atau 100,000 km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 2:40 PM