Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Nasional Datuk Abdul Rahim Hassan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya bagi meluluskan pinjaman RM200,000 berhubung projek syarikat membabitkan menantu dan anak saudaranya.

Abdul Rahim bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Berdasarkan pertuduhan Abdul Rahim didakwa menggunakan jawatannya untuk meluluskan dua permohonan pinjaman program perintis TEKUN Nasional bernilai RM100,000 setiap satu kepada Dynamind Enterprise yang dimiliki menantunya, Khairul Fadly Mahammad dan anak saudaranya Khairiyah Khalid yang juga rakan kongsi syarikat itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di TEKUN Nasional, Bandar Tasik Selatan, dekat sini, pada 31 Mac 2014.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau minimum RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 2:23 PM