Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas pertuduhan mendapatkan suapan dengan memberi kelulusan terhadap syarikat milik adik kandungnya untuk membekalkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan memasang sistem perhubungan bernilai keseluruhan RM415,397, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42 mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Aziedy yang ketika itu sebagai pegawai badan awam iaitu Ketua Pegawai Operasi (COO) yang memangku tugas CEO GLC didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan melalui syarikat adik kandungnya.

Ia adalah dengan meluluskan syarikat ATR Resourcers Enterprise milik adiknya yang berusia 35 tahun itu bagi kerja-kerja pembekalan CCTV untuk sebuah projek perumahan dalam daerah Barat Daya melalui 'purchase order' bernilai RM223,586.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister dalam daerah Timur Laut pada 4 Februari 2016.

AZIEDY didakwa menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya untuk kerja-kerja pembekalan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pemasangan intercom untuk sebuah projek perumahan, tujuh tahun lalu. FOTO Nur Izzati Mohamad
AZIEDY didakwa menyalahgunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya untuk kerja-kerja pembekalan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pemasangan intercom untuk sebuah projek perumahan, tujuh tahun lalu. FOTO Nur Izzati Mohamad

Di mahkamah yang sama, bapa kepada dua anak berusia satu dan sembilan tahun itu juga didakwa menyalahgunakan jawatannya dengan mendapatkan suapan apabila sekali lagi meluluskan syarikat adik kandungnya untuk kerja-kerja pembekalan pemasangan sistem itu bagi projek perumahan sama melalui 'purchase order' bernilai RM191,811.

Aziedy didakwa melakukan kesalahan berkenaan di lokasi yang sama pada 14 Jun 2016.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Aziedy didakwa melakukan kesalahan terbabit di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Arafas Abdul Razak.

Ketika prosiding kes, Noor Azura memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh merayu supaya jaminan dikurangkan atas faktor anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak, ibu bapanya yang sudah uzur dan seorang adik yang tinggal bersamanya.

Dalam pada itu, tertuduh juga baharu saja bekerja sebagai Pengurus Teknologi Maklumat (IT) di sebuah syarikat dengan pendapatan RM7,500 sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa, melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 30 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 4:28 PM