Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM36,000 berkaitan satu hutang lapuk, dua tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Abdul Rahim Hassan, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan berjumlah RM36,000 iaitu 10 peratus daripada hasil kutipan 'Hutang Lapuk TEKUN Nasional' menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) antara 8.30 malam hingga 9 malam, 13 Januari 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Abdul Rahim didakwa menerima wang tunai berjumlah RM36,000 daripada Abdul Muhsin Abdul Rahmah sebagai dorongan mempercepatkan proses bayaran tuntutan Syarikat Pasadana Sdn Bhd di Lobi Kelab Shah Alam, 9.30 malam 15 Januari tahun sama.

Justeru, dia didakwa melakukakan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Aida Addha Abu Bakar dan Wan Ahmad Nizam Wan Omar manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hasnal Redzua Merican dan Muzzamir Merican.

Asmadi menetapkan 8 Februari untuk pengurusan kes, manakala perbicaraan dijalankan bermula 13 hingga 17 Mac depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2017 @ 11:12 AM