MAKAN buah-buahan dan bukan hanya mengambilnya sebagai jus.
MAKAN buah-buahan dan bukan hanya mengambilnya sebagai jus.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Nasihat atau tip diet di sekeliling kita ibarat trend fesyen yang datang dan pergi mengikut musim. Saat tibanya trend sepatu sneaker baji, seluar harem dan skirt mini mikro-semuanya hangat baik di pentas peragaan mahupun di jalanan.

Namun saat pudarnya trend, semua itu mula diang­gap ketinggalan zaman, malah ada yang melabelkannya sebagai fenomena buruk yang tidak sepatutnya dihidupkan kembali.

Apapun, hanya yang benar-benar bijak bergaya akan sentiasa tampak pintar dan anggun. Sama juga perihalnya dengan tabiat diet yang menjadi kegilaan dunia ketika ini.

Mereka yang kekal langsing majoritinya tidak mengikuti diet atau trend pemakanan tertentu. Golo­ngan ini lazimnya mengikut hukum akal dan menyusun strategi pemakanan yang baik agar menepati gaya hidup setiap hari.

Mengetepikan gluten, mengamalkan pengambilan cuka epal dan mengubah hampir semua jenis serat menjadi jus mungkin boleh dicuba jika ia sesuai dengan diri.

Bagaimanapun, apabila trend diet itu mula hilang daripada radar kegilaan dunia, pendekatan lebih bijaksana diperlukan agar tubuh benar-benar mendapat khasiat yang sepatutnya.

Berikut beberapa tip diet malar segar yang bukan saja mudah dilakukan, malah memberikan hasil berkesan berpanjangan pada fizikal dan minda kita.

TIP NUTRISI #1-sembunyikan kelemahan

Jika nampak, pasti ia dimakan. Jika tidak, kita masih akan mengambil hidangan itu, tapi tidaklah secara keterlaluan. Oleh kerana itulah wujudnya kajian 'Projek M&M' yang dijalankan Google di pejabatnya di New York.

Beberapa pengurus bahagian mendapati bahawa meletakkan makanan ringan dalam bekas legap berbanding kaca dan menyediakan snek sihat seperti kacang dan buah ara di ruang rak yang lebih menonjol dapat membendung pengambilan M&M dengan mengurangkan 3.1 juta kalori dalam masa tujuh ming­gu.

Satu kajian sama yang disiarkan dalam Jurnal Pemasaran di syarikat itu juga mendapati manusia lebih cenderung mengambil banyak makanan ringan yang dibungkus dalam peket telus berbanding legap. Sebaiknya, jauhkan daripada penglihatan, minda dan akhirnya jauh daripada mulut.

TIP NUTRISI #2-gunakan sistem 1 dalam 10

Untuk setiap 10 gram karbohidrat yang disenaraikan pada label makanan, dapatkan sekurang-kuangnya satu gram serat. Mengapa 10:1? Nisbah itu adalah kadar karbohidrat kepada serat dalam bentuk bijirin penuh yang belum diproses.

Saranan itu berdasarkan kajian dalam Jurnal Nutrisi Kesihatan Umum di Amerika Syarikat yang menilai ratusan produk bijirin dengan me­ngambil kira makanan yang menepati kadar 10:1 itu.

TIP NUTRISI #3-tingkatkan rasa makanan dengan mengurangkan kalori

Perasan atau tidak bahawa apa yang dihidangkan di restoran segera iaitu burger, kentang hinggalah susu kocak mempunyai bau yang hampir sama?

Aspek itulah yang digunakan sebagai taktik untuk menarik perhatian pengunjung dengan mengambil lebih banyak kalori dalam satu-satu hidangan itu.

Kajian yang diterbitkan Jurnal Rasa Antarabangsa mendapati apabila satu-satu makanan itu kurang baunya, lebih banyak kita mengambilnya.

Menambah herba dan rempah bebas natrium antara langkah mudah untuk mengambil kesempatan kepada ilusi deria bauan itu, sekali gus membantu mengawal pengambilan kalori berlebihan.

TIP NUTRISI #4-malapkan lampu jika ingin tubuh langsing

Kajian di restoran makanan segera yang diterbitkan Jurnal Laporan Psikologi mendapati pengunjung yang menikmati hidangan dalam suasana tenang dengan lampu malap serta muzik lunak hanya mengambil 175 kalori lebih rendah berbanding makan di restoran bersuasana tipikal.

Bunyinya kedengaran dramatik tetapi 175 kalori yang berjaya dikurangkan setiap malam itu mampu membuat­kan berat badan kita susut sekurang-kurangnya lapan kilogram setahun.

TIP NUTRISI #5-makan, jangan minum buah-buahan anda

Mengisar buah-buahan kepada jus kini menjadi trend generasi baru yang disifatkan cara mudah untuk menjaga kesihatan.

Hakikatnya, ada sesete­ngah jus buah-buahan ini hanya memberikan keburukan pada tubuh dan bukan sebaliknya.

Saintis di Harvard mendapati mereka yang minum satu atau lebih jus buah setiap hari hanya meningkatkan risiko menghidap diabetes jenis 2 sehingga 21 peratus.

Berbeza pula dengan mereka yang makan buah-buahan sekurang-kurangnya dua hidangan setiap minggu khususnya beri biru, anggur dan epal.

Golongan ini berupaya mengurangkan risiko kepada diabetes jenis 2 sehingga 23 peratus.

TIP NUTRISI #6-makan sebelum makan

Mengambil hidangan pembuka selera seperti sup jernih atau sebiji epal dapat mengurangkan pengambilan kalori keseluruhan sepanjang proses menikmati hidangan lebih besar sehing­ga 20 peratus.

Berdasarkan Jurnal Persatuan Perubatan Amerika Syarikat, hidangan purata di restoran mengandungi 1,128 kalori. Pengurangan sehing­ga 20 peratus, sekali sehari, sudah cukup untuk membantu mengurangkan berat badan sehingga 10 kilogram setahun.

TIP NUTRISI #7-pilih kertas, bukan plastik

Ini kaedah paling mudah untuk meningkatkan tahap kesihatan dalam troli beli-belah anda. Beberapa siri eksperimen oleh Universiti Cornell mendapati cara pembayaran di kaunter sedikit sebanyak mempe­ngaruhi apa yang kita makan.

Apabila pembeli menggunakan kad kredit, ramai membeli produk makanan yang kurang menyihatkan berbanding makanan yang berkhasiat dan mengenyang­kan.

Pengkaji menyarankan pembelian barangan makanan atau runcit dengan wang dan bukan kad kredit bagi mengelakkan tabiat berbelanja makanan ringan seperti ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:00 AM