RANCANG diet harian yang hanya mengandungi makanan segar amat penting.
RANCANG diet harian yang hanya mengandungi makanan segar amat penting.
Hartini Mohd Nawi


SECARA keseluruhan, pemakanan bersih bertujuan meningkatkan kesedaran berkenaan apa yang kita makan.

Merancang diet harian yang hanya mengandungi makanan segar mungkin amat sukar bagi mereka yang perlu menyediakan makanan dalam keadaan sibuk.

Pengarah Kanan, Latihan dan Pendidikan Pemakanan Sedunia, Herbalife, Susan Bowerman tampil berkongsi idea bagaimana menambah baik diet anda.

1) Baca label makanan untuk membantu anda mengetepikan gula, garam dan lemak tambahan.

Anda mungkin pernah mendengar berkenaan dakwaan ini dan ia dilihat ada kebenarannya.

Senarai ramuan yang lebih pendek biasanya bermakna kurang bahan tambah dan lebih banyak produk lengkap yang berkhasiat.

Semak label untuk mengetahui kandungan lemak, garam dan gula tambahan selain cuba sedaya upaya memilih produk dengan jumlah bahan tambahan minimum.

Sebagai contoh, pilih yogurt biasa dan bukan yang ditambah pemanis, pilih sayur sejuk beku biasa dan bukan yang sudah diadun dengan sos. Seterusnya nikmati roti atau bijirin dengan bijian penuh yang tidak mengandungi ataupun hanya mengandungi sedikit gula tambahan.

MASUKKAN buah-buahan atau sayur-sayuran dalam setiap sajian.
MASUKKAN buah-buahan atau sayur-sayuran dalam setiap sajian.

2) Elakkan kanji proses dan lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Cadangan ini nampak mudah, tetapi sebenarnya salah satu perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk meningkatkan kualiti diet anda.

Apabila anda masukkan buah-buahan atau sayur-sayuran dalam setiap sajian, ia 'mengambil alih' banyak makanan dan ramuan tidak dikehendaki yang anda mungkin makan.

Gantikan aiskrim yang banyak gula dan lemak dengan semangkuk beri lazat lagi berkhasiat, nikmati hidangan salad sampingan bersama sandwic dan bukan kentang goreng atau cuba nikmati snek lobak merah kecil dan humus bukan kerepek kentang.

3) Ketepikan kalori berlebihan dalam minuman.

Dari segi kalori tambahan, kebanyakan orang menghadapi masalah dengan minuman yang dinikmati mereka.

Minuman manis bergas, jus buah (walaupun jus buah yang diperah dan organik 100 peratus), minuman beralkohol, minuman kopi mewah dan teh tarik kegemaran ramai, memang tidak susah untuk 'mengambil' ratusan kalori sehari.

Teh dan air kosong adalah pilihan yang baik kerana boleh dinikmati panas atau sejuk, tidak mengandungi kalori dan mempunyai sebatian yang wujud secara semula jadi yang turut menawarkan manfaat kesihatan.

TINGKATKAN kualiti diet dan pemakanan sihat anda.
TINGKATKAN kualiti diet dan pemakanan sihat anda.

4) Bersihkan peti sejuk, peti sejuk beku dan almari dapur anda.

Kerja menyusun semula kandungan dapur boleh membantu anda menambah baik diet anda.

Isi almari dapur anda dengan produk bijian penuh yang tinggi kandungan serat (seperti roti gandum penuh 100 peratus, bijirin, tepung dan beras perang dan juga makanan seperti kuinoa, milet dan oat) dan bukan bahan proses.

Pastikan juga ada kekacang dan tomato dalam tin dan bukan sos spageti atau sup sedia untuk dimakan yang mengandungi banyak garam.

Simpan buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam peti sejuk serta peti sejuk beku dan bukan sirap bergula atau sos yang masin dan berlemak.

Simpan juga sedikit tuna dalam tin di dalam almari dapur atau isi ikan sejuk beku atau dada ayam dalam peti sejuk beku untuk membolehkan anda menyediakan hidangan pantas yang sihat (bersih!).

Bukan nuget ayam atau jejari ikan bersalut sejuk beku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 6:20 AM