BUAH-buahan segar yang lazat dan menyihatkan.
BUAH-buahan segar yang lazat dan menyihatkan.

Tidak ada permintaan ajaib yang boleh dibuat untuk mendapatkan kesihatan yang baik dengan segera. Orang yang berjaya mengekalkan kesihatan yang baik sebenarnya lebih sedar mengenai apa yang diperlukan untuk mencapainya.

Menurut Pakar Perunding Diet Indra Balaratnam, mencapai kesihatan unggul dan seimbang amat mencabar buat masyarakat masa kini.

Ini kerana menerusi Kaji Selidik Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan Ketiga, 70 peratus rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dengan pengambilan buah-buahan dan sayuran yang tidak mencukupi, malah hanya 30 peratus rakyat negara ini yang mengamalkan senaman secara kerap.

“Inilah penyebab kesengsaraan kehidupan moden. Meskipun sains dan teknologi membantu memperbaiki dan memudahkan kehidupan kita, ia tidak semestinya meningkatkan kualiti kehidupan. Tanpa disedari, sebenarnya ramai orang sedang dilanda penyakit yang boleh memendekkan jangka hayat mereka,” katanya.

Justeru, katanya, pemakanan yang baik adalah faktor penting dalam mencapai dan mengekalkan kesihatan yang baik. Lihat saja negara yang rakyatnya hidup lama dan baik seperti Jepun dan negara Mediterranean.

Salah satu unsur kepada kehidupan seperti itu adalah diet mereka yang kaya dengan makanan berasaskan tumbuhan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh sederhana dalam pengambilan protein tanpa lemak seperti ikan dan minyak yang sihat.

Banyak penyakit kronik mempunyai peluang yang lebih baik untuk dielakkan dengan mengamalkan pengambilan diet mengandungi bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, protein tanpa lemak dan minyak yang sihat.

Malangnya, menurut Indra, ramai orang berkompromi terhadap kebaikan memakan hasil segar. Sebaliknya, mereka mengisi perut dengan makanan yang diproses dan makanan segera yang biasanya dipenuhi lemak tepu, garam serta bahan pengawet. Banyak makanan diproses ini juga kehilangan vitamin dan mineral semula jadi daripada pemprosesan itu.

Diet yang kaya dengan makanan berasaskan tumbuhan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh boleh membantu mencegah beberapa masalah lazim seperti:

Jerawat

Jerawat terhasil apabila folikel rambut pada kulit tersumbat oleh pengeluaran sel minyak berlebihan atau kulit mati. Ia biasanya dialami kanak-kanak yang mula baligh dan memasuki alam remaja. Masalah jerawat berlaku juga pada orang dewasa, namun ia biasanya disebabkan perubahan hormon.

Jerawat boleh dianggap sebagai masalah yang menyebabkan trauma sosial. Masalah jerawat juga boleh membunuh keyakinan seseorang. Ramai remaja yang mengalami masalah jerawat yang teruk biasanya berasa rendah diri untuk bersosial.

Kesan jerawat biasanya berpanjangan sehingga selepas jerawat fizikal hilang. Jerawat yang teruk boleh meninggalkan parut dan noda sebagai ‘peringatan’ kepada masalah kulit berkenaan.

Penyelesaian: Kesan jerawat boleh dikurangkan dengan mengambil makanan yang tinggi kandungan beta karotena (sebatian yang bertukar menjadi vitamin A aktif apabila tubuh memerlukannya) dan vitamin C.

Nutrien ini mempunyai kualiti antioksida yang menghalang pembentukan bakteria dan bertindak ke atas pengeluaran minyak dalam kelenjar kulit.

Buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan beta karotena mempunyai warna kuning-oren seperti betik, mangga, lada benggala kuning, labu dan keledek. Vitamin C pula didapati terutama dalam beri seperti beri hitam, strawberi, jambu, buah-buahan sitrus dan sayur-sayuran berdaun hijau.

Sesetengah remaja mungkin tidak suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Satu cara mudah untuk membantu mereka mendapatkan nutrien bagi memperbaiki keadaan jerawat adalah menghasilkan jus campuran. Ia adalah pengganti yang lebih baik berbanding minuman kegemaran remaja seperti soda dan minuman ringan manis.

Tip: Masukkan buah-buahan berwarna kuning-oren dan buah-buahan sitrus contohnya mangga, nanas, limau, tomato, anggur, lobak merah dan betik yang kaya beta karotena (vitamin A) dalam senarai pilihan anda.

Jus untuk dicuba: Jus campuran oren, mangga dan pir, jus campuran limau gedang dan lobak merah; jus campuran tomato, lobak merah dan epal atau jus campuran tembikai susu dan timun.

Obesiti

Tidak ramai orang menganggap obesiti sebagai satu penyakit. Disebabkan itu, mereka tidak melihat ia memberi kesan langsung terhadap kesihatan.

Hakikatnya, obesiti antara faktor risiko utama penyebab pelbagai isu kesihatan seperti ketidaksuburan, diabetes, darah tinggi, sakit sendi, penyakit jantung, kanser dan banyak lagi.

Kini jumlah penduduk dunia yang termasuk dalam kumpulan tidak cergas dan gemuk semakin meningkat. Persekutuan Jantung Sedunia (WHF) meletakkan obesiti di tempat kelima risiko kematian utama di seluruh dunia.

Anak-anak kita tidak terkecuali kerana obesiti bermula pada usia muda. Statistik menunjukkan ada kemungkinan besar kanak-kanak yang obes boleh membesar menjadi individu dewasa obes jika ibu bapa tidak mengambil langkah sewajarnya dalam pemilihan makanan sesuai untuk menangani masalah mereka.

Penyelesaian terbaik untuk memerangi obesiti adalah mengubah gaya hidup iaitu diet rendah lemak, diet seimbang dengan serat tinggi serta aktiviti fizikal yang dilakukan secara konsisten.

Diet singkat yang menjanjikan penurunan berat badan dengan cepat mungkin kelihatan menarik pada mulanya, tetapi ia bukan penyelesaian jangka panjang atau berterusan. Ini kerana diet yang diamalkan dalam satu-satu tempoh biasanya tidak seimbang.

Buah-buahan dan sayur-sayuran adalah pilihan makanan yang baik kerana secara semula jadi ia rendah kalori dan lemak selain membekalkan banyak serat.

Makanan rendah kalori tetapi kaya serat ini boleh membantu untuk kita berasa kenyang tanpa makan terlalu banyak. Jus dan adunan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah cara yang baik untuk menurunkan berat badan tanpa perlu makan hidangan penuh. Malah jus boleh diambil di mana sahaja.

Tip: Pilih buah-buahan dan sayur-sayuran yang mempunyai kandungan air yang tinggi kerana ia akan membuat anda kenyang lebih lama seperti tembikai, tomato, buah-buahan sitrus dan nanas.

Jus untuk dicuba: Campuran oren, lemon dan saderi atau campuran oren, mangga dan pir. - Yusliza Yakimir Abd Talib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 5:02 AM