Susunan Ardini Sophia


Memegang watak Wendy dalam filem The Prenup, aktres jelita Filipina, Jennylyn Mercado, 28, bukan saja perlu menjiwai wataknya sebagai gadis yang berhadapan dengan perjanjian perkahwinan, malah turut mempengaruhi pendiriannya mengenai perkara yang sering dilakukan selebriti dan kalangan jutawan itu.

Ketika pelancaran filem itu baru-baru ini, Jennylyn atau Jenny mengakui bersedia menandatangani perjanjian sebelum berkahwin andai bakal suami memintanya berbuat sedemikian.

Katanya, dia tidak kisah hartanya turut menjadi hak milik suaminya kerana percaya apabila seseorang itu berkahwin, segala harta miliknya dan pasangan akan menjadi milik bersama.

“Saya juga tidak kisah andai ada sesetengah harta bakal suami mahu disimpan untuk diri sendiri. Mungkin ada aset yang dibeli sebelum bercinta dan dia mahu menyimpannya untuk keluarga. Saya memahami tindakannya.

“Saya tidak perlu rasa terabai kerana tahu dia akan memberikan saya dan anak kami yang terbaik,” katanya.

Berganding dengan aktor kacak, Sam Milby, The Prenup arahan Jun Robles Lana mengisahkan Wendy berkenalan dengan Sean ketika dalam perjalanan ke New York. Mereka jatuh cinta dan berjanji akan berkahwin apabila pulang ke Filipina.

Keluarga Sean dari kalangan orang berada curiga dengan keikhlasan cinta Wendy dan meminta anaknya melakukan perjanjian dengan Wendy sebelum mereka berkahwin.

Filem komedi romantik ini ditayangkan di Manila sejak 14 Oktober lalu dan Jenny menggalakkan pasangan yang ingin berkahwin supaya menonton filem itu.

Katanya, ada banyak perkongsian ilmu terutama sekali prosedur perjanjian sebelum berkahwin. Pihak produksi membuat penyelidikan terlebih dulu sebelum menjalankan penggambaran.

“Bagi mana-mana drama yang memuatkan fakta, bukan hanya produksi yang perlu berhati-hati, pelakon juga harus mempunyai pengetahuan supaya tidak bercanggah dengan fakta dan kami dapat menyampaikan mesej dengan baik.

“Apabila saya ditawarkan berlakon dalam filem ini, perkara pertama yang saya lakukan adalah meminta pihak produser menerangkan perjalanan cerita serta perkara penting yang perlu dititikberatkan. Selepas itu, baru saya mencari maklumat yang diperlukan.

“Saya tidak mahu ada kesalahan mengenai prosedur perjanjian sebelum berkahwin. Bagi sesetengah pasangan, perkara itu sangat besar dan memerlukan persetujuan kedua-dua pihak.

“Mereka perlu mengikut garis panduan yang betul bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang,” katanya.

Jennylyn juga tidak terlepas daripada dikaitkan dengan cinta lokasi apabila digandingkan dengan Sam. Jenny hanya ketawa dan berkata, dia bersikap profesional dan tidak akan mencampur aduk peribadi dan juga pekerjaan.

Katanya, apabila timbul cerita seperti itu ia seolah-olah menggambarkan dirinya sangat mudah jatuh cinta. Jenny akui peristiwa pahit yang pernah menimpa dirinya apabila ditinggalkan kekasih sebaik saja mengetahui dirinya mengandung, menjadikan dirinya sangat berhati-hati.

“Saya rasa sikap kurang percaya kepada lelaki membuatkan sehingga kini masih belum mempunyai teman istimewa tapi saya bingung kerana setiap kali berpasangan dengan aktor menerusi drama mahupun filem, pasti timbul gosip seperti itu.

“Sehingga kini saya belum bersedia membuka pintu hati untuk mana-mana lelaki. Tetapi, saya terbuka untuk bersahabat. Hubungan saya dan Sam sekadar kawan dan kadangkala kami keluar bersama atas dasar kawan.

“Rasanya cerita saya bercinta dengan Sam timbul kerana gambar yang saya muat naik di Instagram. Ketika itu kami menjalani penggambaran di New York. Ada sedikit masa untuk berjalan-jalan, kami gunakan kesempatan itu untuk bersiar-siar. Rasanya tidak salah,” jelas Jenny.

Sementara itu dalam temubual bersama Sam, aktor itu mengakui tertarik dengan perwatakan Jenny. Semakin rapat selepas sama-sama membintangi filem itu, Sam ingin mengenali Jenny lebih dekat.

Aktor itu juga mahu berkenalan dengan keluarga Jenny supaya dapat memahami wanita itu dengan lebih baik. Meminta komen Jenny mengenai kenyataan Sam, dia tersenyum dan menganggapnya sebagai promosi filem sahaja.

“Saya rasa Sam katakan sedemikian hanya untuk menghangatkan lagi sambutan filem yang kami bintangi. Kami memang rapat tapi dia tidak ada cakap apa-apa pun mengenai ingin kenal saya dengan lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:05 AM