Sewaktu majlis prebiu filem terbaru lakonan Shaheizy Sam, Manisnya Cinta Di Cappadocia, rata-rata rakan media cuba mencungkil benarkah aktor popular itu sempat menjalin hubungan cinta dengan heroinnya, Fazura.

Terutama apabila babak cinta menunjukkan Sam bersungguh-sungguh melamar Fazura yang memegang watak Ifti sehingga menitis air mata.

Apa pun, Cik Pang kurang minat nak tahu betulkah Sam dan Fazura pernah bercinta di luar filem Manisnya Cinta Di Cappadocia sebabnya Cik Pang dah dapat cerita jauh lebih menarik mengenai hubungan cinta Sam.

Kalau Cik Pang kongsikan cerita ini, pasti semua orang terkejut tapi tak payah nak terkejut sangatlah. Bukankah jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Bak kata pepatah, kalau sudah jodoh takkan ke mana.

Peminat pasti masih ingat kisah cinta Sam dengan pelakon baru yang semakin mencipta nama, Syatilla Melvin. Bagaimanapun, hubungan terbina tidak berpanjangan kerana tidak mendapat restu orang tua.

Namun, baru-baru ini ada yang menyampaikan berita gembira kepada Cik Pang yang Syatilla dan Sam kembali bersama. Ibarat cinta terputus kembali bertaut.

Lebih menggembirakan apabila hubungan mereka turut mendapat restu orang tua. Buktinya, Syatilla dilihat sering keluar dengan ibu Sam yang lebih popular dipanggil Mummy dalam kalangan rakan industri.

Mereka juga sering memuat naik gambar saat mesra keluar dan membeli-belah bersama dan perkara itu pasti menjadi bukti hubungan Sam dan Syatilla kembali baik.

Bila cinta kembali bertaut, nampaknya tidak lama lagi akan sampailah kad jemputan pernikahan dan perkahwinan Sam dan Syatilla atas meja Cik Pang.

Itu doa Cik Pang untuk pasangan ini, moga jadi kenyataan. Sebabnya sebelum ini Sam beritahu rakan media, dia memang mahu berkahwin dalam usia sekarang. Tak gitu Sam?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:05 AM