Oleh Norhayati Nordin


Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang adik melainkan dapat berkongsi kebahagiaan dengan abangnya. Itulah yang dirasakan aktres jelita, Siti Saleha.

Pelakon berusia 25 tahun yang juga adik kepada vokalis Bunkface, Sam atau nama sebenar Shamsul Annuar Mohd Baharom, 28, itu sangat gembira dengan perkahwinan abangnya, baru-baru ini. Sam selamat melangsungkan majlis pernikahan dan persandingan bersama pasangannya Aida Azira Husin, 28, selepas hampir dua tahun menyulam cinta.

Mesra disapa Saleha, dia mengakui sangat bersyukur melihat Sam akhirnya bertemu jodoh dengan wanita pilihan hatinya. Apatah lagi, Sam amat berahsia mengenai percintaannya.

"Saya kenal Aida, tetapi tidak tahu langsung yang mereka bercinta. Sehinggalah tahun lalu Sam membuka mulut meluahkan hasratnya untuk berkahwin. Ketika itu, Sam bercadang mahu merisik Aida dan bertunang. Memang agak terkejut kerana saya dan keluarga tak pernah tahu pun yang mereka bercinta.

"Apapun, bagi saya Aida adalah jodoh paling sesuai buat Sam kerana dia juga seorang penyayang. Saya yakin Aida mampu menjaga Sam dengan baik dan saya mendoakan kebahagiaan mereka berdua," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 6:58 AM