JAMAL bersama adiknya Helmi.
JAMAL bersama adiknya Helmi.
Oleh Ramlah Zainal


Pasti ramai masih ingat dengan pelakon era 80-an yang pernah menempa nama menerusi filem Rozana Cinta 87 arahan Nasir Jani iaitu Helmi Husaini.

Malah, gandingan mantap Helmi dengan pelakon Bibiyana Layola dan Erma Fatima dalam filem itu masih melekat utuh dalam ingatan peminat setianya.

Selepas beraksi dalam filem itu, adik kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah ini menjadi rebutan pengarah dan penerbit. Namun, selepas berumah tangga dan menetap di Kinabatangan, Sabah, namnya terus sepi.

Hampir sedekad menghilang, Helmi, 50, nekad kembali aktif berlakon. Dalam pertemuan yang diatur RAP di Balai Berita, Bangsar, Helmi mengakui bidang seni sudah sebati dengan dirinya dan tiada istilah bersara selama ini.

“Saya tidak bersara daripada bidang lakonan, sebaliknya mahu fokus pada isteri dan anak selepas berkahwin. Saya juga menetap di Sabah kerana isteri berasal dari sana. Kami mengusahakan restoran tomyan untuk menyara keluarga,” katanya.

Sambung bapa kepada lima cahaya mata itu, ini adalah masa paling tepat untuknya membuat kemunculan semula dan tidak mahu menghampakan peminat.

“Sebenarnya, sepanjang tempoh sembilan tahun ramai peminat yang berkunjung ke restoran sering bertanya bila saya akan kembali berlakon.

“Kemunculan semula ini bukan kerana rindu, tetapi lebih kepada tanggungjawab melunaskan harapan peminat.

“Lagi pun bakat yang ada pada saya ini anugerah Allah SWT dan saya tidak mahu mensia-siakannya. Ada juga saya berlakon ketika di Sabah, tetapi watak kecil saja,” katanya.

Mengenai pemilihan watak pula, kata pelakon berkarakter ini, dia tidak cerewet asalkan ada mesej berguna untuk disampaikan kepada penonton.

“Saya juga tidak kisah melakonkan watak ayah dalam drama kerana sebagai pelakon, apa saja watak yang diserahkan adalah amanah.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan dunia hiburan tempatan. Apabila ada kelapangan, saya menonton drama.

“Saya dapati kebelakangan ini penerbit cenderung menghasilkan drama adaptasi novel. Saya tidak ada masalah jika ditawarkan berlakon dalam drama seperti ini,” katanya.

Terkenal dengan watak gelap, Helmi tidak kisah dibenci penonton kerana ia membuktikan persembahannya menjadi.

“Saya sekadar menjalankan tugas dan tidak kisah jika dibenci penonton. Lagipun apa yang dipaparkan itu sekadar lakonan, bukan diri saya yang sebenar.

“Jika penonton tidak suka itu bermakna lakonan saya berjaya,” katanya.

Kali terakhir Helmi berlakon pada 2010 dan antara karya lakonannya yang meninggalkan kesan mendalam di hati penonton ialah Syurga Di Pintu Neraka arahan Tony Francis Gitom bergandingan dengan Norish Karman pada 1996.

Selain itu, drama Hujan Beredar Panas Berlingkar bergandingan dengan Nor Albaniah untuk Slot Panggung 1, RTM (2008) dan Telefilem Hello arahan Erma Fatima yang diterajui Datuk M Nasir, Tiara Jacquelina, Faizal Hussein dan Umie Aida untuk Slot Cerekarama di TV3 pada 1994 terbitan BNE Studio.

Tidak ketinggalan, dia turut beraksi dalam filem Jalang arahan Nazir Jamaluddin yang mempertaruhkan pelakon baru, Yasmin Khanif.

Jamal kembali berlakon

Sebagai abang, pastinya Jamal menyokong hasrat Helmi untuk kembali aktif berlakon. Selain Helmi, seorang lagi adik Jamal yang turut mengikut jejak langkahnya ialah Jamilul Hayat.

Bagi anak sulung daripada tujuh beradik ini, Helmi berbakat dan boleh pergi jauh dalam bidang lakonan.

“Sebagai abang, saya nampak kemampuan Helmi. Dia pelakon yang hebat. Berilah apa saja watak, pasti dapat dijiwa dengan berkesan. Disebabkan itu saya menyokong niatnya untuk kembali aktif berlakon.

“Demi memenuhi komitmen sebagai pelakon, Helmi sanggup berulang-alik dari Sabah ke Kuala Lumpur jika ada penggambaran di Kuala Lumpur.

“Helmi kini bernaung di bawah pengurusan produksi saya, Bin Jamal Event Sdn Bhd. Mana-mana pihak yang ingin mengambilnya berlakon boleh berhubung terus dengan pihak pengurusan,” katanya.

Sama seperti adiknya, Jamal juga merancang untuk kembali berlakon.

“Saya akan bergandingan dengan Helmi dalam satu projek drama yang masih dalam perancangan. Selain Helmi, kami ingin melamar aktor berkaliber, Eman Manan untuk jadi sebahagian projek ini.

“Buat masa ini, kami masih mencari skrip yang bagus dan ia bertemakan kekeluargaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 11:39 AM