HAALAND meraikan jaringan keduanya. FOTO AFP
HAALAND meraikan jaringan keduanya. FOTO AFP
AFP

Oslo: Erling Haaland menjaringkan dua gol dan mencipta gol ketiga ketika Norway menewaskan seteru setempat, Sweden 3-2 dalam kempen Liga Negara-Negara Uefa di Stadium Ullevaal dekat Oslo, hari ini.

"Saya hilang kata-kata! Untuk menang menentang Sweden dalam perlawanan terakhir musim ini, ia sangat menarik," kata penyerang berusia 21 tahun itu kepada televisyen Norway.

Haaland, yang akan berhijrah ke Manchester City dari Borussia Dortmund pada musim panas ini, meletakkan Norway di depan pada minit ke-10 apabila menanduk masuk bola berpunca dari hantaran lintang.

Dia menambah gol kedua apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Hjalmar Ekdal mengasari Alexander Sorloth.

Ia adalah gol antarabangsa ke-20 Haaland dalam 18 penampilan bersama Norway.

Sweden membalas lapan minit kemudian apabila Emil Forsberg merembat masuk hantaran Dejan Kulusevski.

Haaland kemudiannya menjadi arkitek kepada gol Sorloth minit ke-77 untuk Norway kembali dengan kelebihan dua gol.

Viktor Gyokeres memberi harapan kepada Sweden apabila merapatkan jurang pada masa kecederaan namun ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan Norway.

"Sweden lebih baik apabila menyerang berbanding bertahan. Tapi saya rasa kami adalah pasukan lebih baik terutama apabila memperoleh gol awal," kata jurulatih Norway, Stale Solbakken.

Kemenangan itu menyaksikan Norway mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan dalam Kumpulan B4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:44 AM