GAVI meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
GAVI meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
AFP

Paris: Sepanyol mengesahkan tiket ke Euro 2024 selepas menang 1-0 ke atas Norway di tempat lawan awal pagi tadi sekali gus turut memastikan Scotland mara dalam Kumpulan A.

Pemain tengah Barcelona, ​​Gavi menjaringkan gol tunggal pada awal separuh masa kedua di Oslo untuk membantu Sepanyol layak ke pusingan akhir tahun depan di Jerman dengan berbaki dua perlawanan.

"Kami sangat gembira kerana pasukan mempamerkan peningkatan ketara dan mempunyai masa depan yang hebat. Kami berusaha keras untuk mencapai masa tahap ini," kata jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente.

Sepanyol mendahului Kumpulan A dengan perbezaan gol, tetapi keputusan itu memastikan Scotland juga mendapat tiket ke Euro 2024 dengan Norway ketinggalan lima mata menjelang perlawanan terakhir mereka bulan depan.

"Apabila kami layak melalui aksi play-off sebelum ini, kami meletakkan sasaran untuk layak secara automatik pada masa akan datang, jadi misi pertama sudah dicapai," kata kapten Scotland, Andy Robertson.

Norway tidak layak ke kejohanan berprestij itu sejak Euro 2000, tetapi pasukan yang menampilkan Erling Haaland dan Martin Odegaard masih mempunyai harapan untuk mara menerusi aksi play-off.

Sementara itu, Turkiye melengkapkan minggu bermakna mereka selepas diumumkan sebagai tuan rumah bersama Itali untuk Euro 2032 apabila melakar kemenangan 4-0 ke atas Latvia untuk menempah tiket ke pusingan akhir.

Yunus Akgun memecah kebuntuan pada minit ke-58 dan bekas penyerang Everton, Cenk Tosun menjaringkan dua gol serta jaringan Kerem Akturkoglu melengkapkan kemenangan bagi pendahulu Kumpulan D itu.

"Saya sangat gembira kerana kami layak menerusi kemenangan ini," kata jurulatih Turkiye Vincenzo Montella kepada UEFA.com.

"Saya mungkin jurulatih paling gembira di dunia sekarang. Saya mahu meraikan kejayaan ini dahulu dan kemudian kami akan meneruskan persiapan dengan secepat mungkin," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 7:36 AM