KREW pasukan Ferrari menolak kereta Sebastian Vettel di Interlagos.
KREW pasukan Ferrari menolak kereta Sebastian Vettel di Interlagos.

GP Brazil yang diadakan di pinggir bandar Sao Paolo sentiasa menghasilkan perlumbaan menarik. Begitulah kebiasaanya apabila penghujung musim, kita akan melihat banyak penentu kejuaraan di sini, tetapi tidak kali ini kerana Lewis Hamilton sudah menguasai gelaran itu.

Interlagos adalah litar lawan arah jam dengan beberapa perubahan aras ketinggian yang baik. Kawasan lurus di depan tidak begitu lurus dan menaik dengan agak curam dari selekoh terakhir sebelum menuruni bukit untuk memasuki belok 1. Dengan jarak dari selekoh terakhir ke selekoh pertama agak jauh dan ianya zon DRS, kita biasanya dapat melihat pemandu memotong ketika memasuki belok 1. Bagaimanapun, keadaan zon brek yang curam bermakna ia mungkin agak mencabar.

Kawasan lain di litar ini membabitkan selekoh perlahan ke sederhana (dengan belok 6 satu-satunya yang laju), bermakna anda memerlukan kereta dengan cengkaman mekanikal yang baik dan daya ke bawah. Litar ini dulunya tidak rata - tetapi permukaannya sudah diratakan tahun lalu.

Walaupun Mercedes sepatutnya mempunyai kelebihan di sini, ramai menjangkakan perlumbaan ini akan membawa Ferrari lebih dekat daripada biasa. Jika cuaca panas, mereka mungkin menang berdasarkan merit. Hakisan tayar dijangka lebih tinggi kerana litar ini memberi tekanan tinggi kepada tayar. Kita bakal melihat dua atau tiga hentian pit sepanjang perlumbaan ini.

Red Bull Racing akan mencuba enjin Renault yang baru minggu ini dengan Daniel Ricciardo. Walaupun dia perlu mengambil penalti, ia turut menandakan hubungan pasukan ini dengan pembekal unit kuasa Perancis ini semakin baik. Mendapat peluang menggunakan enjin baru akan membantu Renault dengan pembangunan mereka dan dengan tiadanya jalan lain, semuanya bergantung kepada Red Bull Racing untuk menentukan jika Renault akan membekalkan enjin buat mereka tahun depan. Siapa sangka ini boleh berlaku kerana beberapa bulan dulu berlaku perselisihan serius di antara mereka.

Honda satu lagi pembekal enjin yang akan berpuas hati susulan peningkatan terbaru dengan Alonso memberi komen betapa sayangnya musim ini akan berakhir tidak lama lagi. Selepas musim mencabar, mungkin kenyataan itu agak pelik tetapi ia memberi petunjuk McLaren Honda akhirnya menghasilkan peningkatan.

Tahun lalu, Nico Rosberg mendominasi perlumbaan ini. Lantaran dia juga pemenang di Mexico sebelum ini, Rosberg akan bermula sebagai pilihan penonton minggu ini dan mungkin juga buat pertama kalinya tahun ini.

Rakan sepasukannya, Lewis Hamilton juga tidak sihat, jadi ini memberi kelebihan kepada Rosberg.

Apa jua keadaannya, Interlagos memberikan perlumbaan menarik, terutamanya jika hujan minggu ini. Jika hujan, akan terhasillah perlumbaan yang hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 5:16 AM