GP China menghadirkan rasa gembira pasukan Mercedes selepas mereka berjaya merampas kemenangan daripada Ferrari yang menang di Malaysia.

Mereka bukan sekadar menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua dengan Lewis Hamilton dan Nico Rosberg, tetapi juga menambah kelebihan prestasi yang sedang dinikmati berbanding pasukan lain.

Tanpa rehat selepas GP China, semua pasukan terpaksa terus ke Bahrain untuk pusingan seterusnya pada hujung minggu ini. Perlumbaan yang terus-menerus ini mungkin agak membebankan tetapi mereka pasti lebih memilihnya kerana memberikan mereka berehat tiga minggu sebelum perlumbaan di Barcelona. Waktu rehat ini pasti dihargai ramai, termasuk pasukan yang perlu berkumpul semula selepas beberapa perlumbaan awal sengit, terutama pasukan yang diperkuatkan dengan enjin Renault atau Honda.

Perlumbaan di Bahrain biasanya sukar disebabkan cuaca panas, namun kini melegakan sedikit kerana diadakan pada waktu malam ketika cuaca lebih sejuk.

Di litar itu terdapat tiga bahagian lurus besar yang dipisahkan dua kawasan perlahan bagi membolehkan pengaliran susur (slip streaming) tanpa terjejas teruk oleh udara kotor. Ini bermakna perlumbaan akan menjadi menarik. Litar Bahrain mungkin tidak menyeronokkan seperti Sepang dan Shanghai tetapi sememangnya menarik.

Barisan pertengahan sepatutnya mengalami sedikit perubahan. Sebarang kelebihan kecil akan membawa kepada perubahan kedudukan dan mungkin juga mata. Redbull dan Torro Rosso mungkin mengalami lebih kesukaran dan ini memberi peluang kepada pasukan lain seperti Lotus, Sauber dan Force India untuk mendapatkan lebih mata. Untuk Mclaren Honda pula, saya hanya boleh katakan perlumbaan hujung minggu ini tidak mudah untuk mereka.

Di barisan depan, semua ingin melihat jika Rosberg dapat mengatasi kemaraan Hamilton. Walaupun tidak dipisahkan banyak mata setakat ini, pelumba Jerman ini masih jauh ketinggalan daripada Hamilton dari segi prestasi. Dia perlu berusaha keras terutama selepas merungut mengenai strategi perlumbaan Hamilton pada perlumbaan lalu yang pastinya tidak membuatkan peminat menyokongnya.

Sebagai pemerhati bebas, saya berharap dia akan berjaya kali ini tapi Hamilton masih mempunyai sedikit kelebihan dan pasti sukar ditandingi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:07 AM