Pihak berkuasa perlu kerap melakukan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin yang biasanya diseludup masuk ke Malaysia oleh sindiket dengan bayaran tertentu. - Foto NSTP (Fail).
Pihak berkuasa perlu kerap melakukan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin yang biasanya diseludup masuk ke Malaysia oleh sindiket dengan bayaran tertentu. - Foto NSTP (Fail).

Kuala Lumpur: Banyak pihak menyokong cadangan kerajaan mengkaji menambah hukuman penjara daripada 10 tahun sekarang kepada seumur hidup untuk pesalah pemerdagangan manusia di negara ini.

Penolong Pengarah D7C Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Maszely Minhad yakin penjara seumur hidup akan mengurangkan jenayah berkenaan.

"Malah jika hukuman penjara seumur hidup tidak memadai ia perlu dinaikkan kepada hukuman gantung sampai mati.

"Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) juga perlu mengenakan hukuman sebat dan hukuman penjara mandatori supaya orang takut melakukan kesalahan itu," kata Maszely hari ini.

Presiden Transparency International-Malaysia Datuk Akhbar Satar berkata, penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan dengan penuh integriti bagi memastikan ia benar-benar berkesan.

“Kerajaan perlu memastikan ejen penguatkuasaan yang ditugaskan mempunyai integriti tinggi dan tidak terbabit dalam rasuah.

"Kalau undang-undang diperketatkan tetapi pesalah dilepaskan apabila membabitkan rasuah maka undang-undang yang dikuatkuasakan itu hanya sia-sia,"

katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dalam rangka lawatan ke United Kingdom, mengumumkan Malaysia akan mengkaji pengalaman UK menangani pemerdagangan manusia dari segi pendekatan dan langkah pencegahan menerusi undang-undang lebih ketat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:36 PM