LELAKI tempatan dan wanita warga Thailand ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan pemerdagangan orang bagi tujuan melacur. FOTO Ihsan Polis
LELAKI tempatan dan wanita warga Thailand ditahan selepas dipercayai terbabit kegiatan pemerdagangan orang bagi tujuan melacur. FOTO Ihsan Polis
Mohd Azam Shah Yaacob


DUA wanita warga Thailand yang dipaksa melacur oleh satu sindiket pemerdagangan orang diselamatkan polis dalam serbuan berasingan di Masjid Tanah dan Kuala Sungai Baru, Melaka, Sabtu lalu.

Dalam serbuan menerusi Ops Pintas dijalankan Zon Chalie (D7C) Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran (ATIP/ASOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 42 tahun dan 56 tahun serta seorang wanita Thailand.

Ketua Penolong Pengarah (D7C) JSJ Bukit Aman, Datuk Maszely Minhad berkata, menerusi risikan dijalankan, sepasukan pegawai dan anggota D7C Bukit Aman membuat serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Paya Mengkuang, Masjid Tanah pada jam 12.45 tengah malam dan menyelamatkan seorang wanita Thailand serta menahan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun.

Katanya, berpandukan maklumat hasil serbuan pertama, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Taman Kompang Ria, Kuala Sungai Baru dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun dan seorang wanita Thailand.

“Hasil siasatan dijalankan, tiga individu berkenaan didapati terbabit dalam sindiket mengeksploitasi wanita warga asing sebagai pelacur.

“Malah, susulan penahanan tiga suspek bagi sindiket pemerdagangan orang bagi tujuan pelacuran itu, polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Bukit Bun Bun, Kuala Sungai Baru dan berjaya menyelamatkan seorang lagi wanita Thailand yang dipaksa melacur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mazley berkata, dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga kereta jenis Perodua Kancil, Proton Saga dan Volvo, tiga unit telefon bimbit, dua buku catatan hasil keuntungan kegiatan pelacuran, jadual pembayaran gaji serta wang tunai RM1,750.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 4:16 PM