Ahmad Zahid ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai dari UK, semalam.
Ahmad Zahid ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai dari UK, semalam.

Manchester: Malaysia akan mengkaji pengalaman United Kingdom (UK) menangani aktiviti pemerdagangan manusia dari segi pendekatan dan langkah pencegahan melalui undang-undang lebih ketat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ini termasuk melihat sama ada Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang dikuatkuasakan di Malaysia perlu diperketatkan supaya menjadi lebih berkesan.

“Di UK, undang-undangnya ada peruntukan hukuman penjara seumur hidup sedangkan di Malaysia hukuman maksimum hanya 10 tahun penjara saja. Ini menjadikan Malaysia seolah-olah masih boleh bertoleransi terhadap kegiatan berkenaan berbanding UK,” katanya selepas majlis jamuan malam bersama rakyat Malaysia, di sini, Isnin lalu.

Pada sebelah petang, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan empat hari ke UK bersama-sama delegasi rombongan Malaysia mendengar taklimat dan mengadakan perbincangan dengan pihak UK di London mengenai Perhambaan Zaman Moden atau lebih dikenali dengan istilah pemerdagangan manusia di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, antara lain Malaysia akan melihat kesesuaian mengenai keperluan bagi meminda undang-undang ATIPSOM bukan mengikut acuan UK, tetapi lebih kepada pengalaman negara itu mengurangkan kemasukan pihak yang menjadi mangsa perhambaan zaman moden apabila undang-undang berkaitan diperketatkan.

Ahmad Zahid berkata, rombongan Malaysia dimaklumkan mengenai pendekatan digunakan kerajaan UK untuk mengawal dan mengurangkan kegiatan pemerdagangan manusia yang dijadikan buruh paksa atau hamba seks membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam soal pemulihan.

“Di UK, mereka mengadakan jalinan dengan NGO untuk memberi keselesaan kepada mangsa menjalani proses pemulihan.

“Kami dimaklumkan bagaimana pencegahan dilakukan bagi menyekat mangsa masuk ke UK. Antaranya menjalinkan kerjasama dengan pejabat kedutaan dan pejabat konsulat supaya mereka yang bakal masuk itu disekat lebih awal,” katanya.

Menurutnya, satu lagi pendekatan di UK ialah penggunaan pakar psikologi serta beberapa pihak dari negara asal mangsa membantu mengatasi masalah trauma dialami mangsa.

“Elemen ini belum dilaksanakan di Malaysia kerana mangsa tidak datang untuk mengadu kecuali jika ada laporan kepada pihak berkuasa di Malaysia,” katanya.

Pada jamuan malam berkenaan, Ahmad Zahid mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara supaya bersyukur dengan peluang melanjutkan pelajaran di luar negara dan sentiasa menjaga nama baik negara.

Mereka diminta rasional dalam analisis terhadap maklumat diterima mengenai perkembangan di Malaysia khususnya daripada media alternatif dan sosial kerana kebanyakan maklumat bersifat separuh benar dan tidak berasaskan etika kewartawanan.

“Analisis mereka hendaklah berdasarkan minda dan bukan perasaan,” katanya.

Hampir 200 pelajar Malaysia yang menuntut di UK menghadiri jamuan malam itu. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 8:50 AM