AFP

London: Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge (gambar) mungkin tidak turun beraksi sehingga awal tahun depan apabila mengalami kecederaan paha.

Pemain berusia 24 tahun itu tidak beraksi dengan kelab Merseyside sejak 31 Ogos lalu kerana mengalami kecederaan di bahagian sama ketika bermain untuk skuad England.

Ia diikuti kecederaan betis dialaminya ketika turun berlatih kali pertama bersama Liverpool.

Dia kembali turun berlatih minggu lalu dan mendakwa semuanya sudah kembali pada tahap terbaik.

Bagaimanapun, satu kenyataan dikeluarkan kelabnya kelmarin mengesahkan ujian imbasan dilakukan mendapati pemain itu mengalami kecederaan baru di pahanya.

“Daniel tidak boleh dipilih untuk beraksi, tetapi kami akan memantaunya dan membantu sepanjang tempoh penyembuhan,” kata kenyataan itu.

Liverpool memenangi lima perlawanan, dua daripadanya dalam saingan Piala Liga dan tewas tujuh kali sepanjang ketiadaan Sturridge.

Rekod mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang tempoh sama mencatatkan lima kekalahan dan hanya menjaringkan lapan gol dalam tujuh perlawanan dengan penyerang dibeli pada pramusim, Mario Balotelli dan Rickie Lambert gagal untuk menampung ketiadaan Sturridge serta Luis Suarez yang berpindah ke Barcelona.

Malah Balotelli, Lambert dan seorang lagi penyerang, Fabio Borini masih belum menjaringkan gol dalam saingan EPL.

Liverpool muncul naib juara di belakang Manchester City dan kini berada di tangga ke-11 serta ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea.

Mereka kurang empat mata dengan pasukan di kedudukan terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:05 AM