Syarifah Dayana Syed Bakri


MODEL pertama kereta nasional baharu dijangka mula dilancarkan pada Mac 2021 dengan jangkaan model jenis sedan segmen C.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, syarikat tempatan, DreamEDGE Sdn Bhd (DreamEDGE) dipilih sebagai syarikat utama dalam projek ini dengan kos pelaburan 100 peratus daripada pembiayaan swasta.

“Syarikat ini berjaya membuktikan keupayaannya dengan kemampuan teknologi yang dimiliki selain rekod cemerlang dalam projek berkaitan robotik, internet benda (IoT) dan rekaan automotif,” katanya pada sidang media di Cyberjaya, hari ini.

Menurutnya, Daihatsu Motor Company (Daihatsu) pula akan memberi sokongan dari aspek teknologi.

“Penyertaan Daihatsu hanya dari aspek sokongan teknologi dan tidak membabitkan sebarang pelaburan atau perkongsian ekuiti dalam projek ini,” katanya.

Selain pelancaran model pertama pada 2021, prototaip kenderaan ini akan diperkenalkan pada Mac 2020 dengan pengambilan tenaga kerja berkaitan akan bermula pertengahan September tahun ini.

Darell berkata, kenderaan ini juga membabitkan 100 peratus penyertaan tempatan bermula dari aspek konsep sehinggalah pengeluaran dengan sasaran kandungan tempatan sepenuhnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DreamEDGE, Khairil Adri Adnan berkata, pihaknya masih belum boleh mendedahkan jumlah pelaburan untuk projek ini namun, ia dijangka mencecah ratusan juta.

“Kami masih membincangkan lebih lanjut mengenai perkara ini dan akan mengumumkan perkembangan projek ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 11:18 AM