SHAH bersama model rumah tradisional yang dibinanya.
SHAH bersama model rumah tradisional yang dibinanya.
Teks dan gambar Rodly Fadly


Rumah tradisional Melayu, antara warisan kita sejak berkurun lalu kini makin lenyap ditelan arus pembangunan. Bukan sahaja di kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur yang gah dengan bangunan pencakar langit, malah di kampung juga kini sudah jarang kelihatan rumah tradisional.

Jika warisan ini tidak terpelihara, ia bukan sahaja akan lenyap, malah secara tidak langsung memadamkan sejarah orang Melayu. Ini kerana rumah tradisional sangat berkait rapat dengan latar sejarah, asal usul, peradaban, budaya dan ekonomi masyarakat Melayu silam.

“Tidak mustahil, anak bangsa kita akan datang tidak lagi mengenali susur-galur nenek moyang mereka,” kata Shahrudin Mat Jasin, pereka model rumah tradisional Melayu ketika dikunjungi di terataknya di Pusat Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

Shahrudin atau Shah antara individu yang cuba mempertahankan warisan itu daripada lupus ditelan zaman. Sejak lapan tahun lalu, beliau mengabdikan diri mereka bentuk dan membina model rumah tradisional Melayu.

Baginya, selain menjadi sumber pendapatan, pembabitannya dalam pembinaan model rumah tradisional Melayu lahir daripada rasa sayangnya terhadap warisan yang sangat berharga ini.

“Sebagai anak Melayu, saya terpanggil untuk menyelamatkan warisan kita ini. Untuk membina rumah sebenar saya tak mampu, cukuplah dengan sumbangan kecil membina model rumah supaya ia kekal di depan mata kita. Sekurang-kurangnya generasi akan datang masih dapat melihatnya,” katanya.

Beliau berkata, kekagumannya terhadap rumah tradisional Melayu bertitik tolak daripada minatnya terhadap mata pelajaran Sejarah terutama peradaban Melayu lama.

“Ketika bersekolah, saya suka membaca kisah sejarah terutama yang berkaitan dengan rumpun Melayu. Apabila dewasa, minat saya makin mendalam dan saya mula mengkaji orang Melayu, dari mana asal mereka, budaya hidup dan sebagainya.

“Saya dapati rumah yang dibina pada zaman dahulu berkait rapat dengan sejarah orang kita yang datang dari pelbagai rumpun Melayu. Rumah Kelantan contohnya ada sejarah tersendiri di sebaliknya. Begitu juga dengan rumah orang Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Sesuatu yang unik mengenai rumah tradisional Melayu ialah cara pembinaannya yang langsung tidak meng–gunakan paku. Sebaliknya, kerangka atau struktur rumah menggunakan kaedah pasak dan tebuk tembus yang juga disebut tanggam.

“Kaedah itu memudahkan rumah ini dibuka dan dipasang semula apabila mahu dipindahkan. Berdasarkan kajian saya, cara ini hanya diamalkan nenek moyang kita di Nusantara dan tidak dilakukan di mana-mana negara lain. Itulah uniknya rumah tradisional Melayu.

“Selain itu, bahan binaan yang digunakan adalah daripada hasil sumber alam di sekeliling seperti kayu ce–ngal, balau,meranti, buluh, rotan, tanah liat, daun rumbia, nipah dan mengkuang.

“Orang Melayu dahulu juga sangat kreatif dan teliti. Lihatlah reka bentuk dan ukiran rumah mereka, semuanya dibuat dengan tangan. Antara nilai seni yang sangat unik ialah rekaan bumbung rumah tradisional Kelantan yang dinamakan singgora, bukan sahaja reka bentuknya, malah penggunaan tanah liat sebagai atap.

“Mereka tidak perlu melantik arkitek seperti zaman sekarang untuk membina rumah, sebaliknya membinanya mengikut ilham sendiri. Begitulah hebatnya orang Melayu dahulu,” katanya.

Shah berkata, keunikan itulah yang ditonjolkan melalui model rumah tradisional dihasilkannya. Bagi memastikan keasliannya, bukan sahaja bentuk dan seni ukirannya dikekalkan, malah beliau turut menggunakan bahan asli untuk membinanya.

“Untuk model rumah Kelantan ini contohnya, saya menggunakan kayu cengal dan bumbungnya menggunakan tanah liat seperti digunakan pada zaman dahulu. Walaupun sukar mendapatkan kedua-dua bahan ini sekarang dan harganya juga mahal, saya tetap berusaha mendapat–kannya demi memastikan keaslian model rumah tradisonal yang saya bina.

“Malah cara pembinaannya juga saya kekalkan iaitu tanpa menggunakan paku atau gam, sebaliknya mengguna pakai kaedah asal iaitu pasak dan tanggam,”katanya.

Beliau berkata, setiap model rumah yang dibinanya mengambil masa empat bulan untuk disiapkan kerana memerlukan ketelitian dan kreativiti yang tinggi.

“Paling sukar ialah membuat ukiran seperti di pintu, tingkap dan dinding. Ini kerana saya mahu ia benar-benar kelihatan asli walaupun sekadar model,” katanya.

Shah berkata, setakat ini sambutan yang diterimanya sangat menggalakkan terutama daripada pelancong asing yang datang dari pelbagai pelosok dunia seperti Brazil, Hong Kong, Amerika Syarikat dan Britain. Mereka sanggup membeli model rumah tradisional ciptaan Shah dengan harga setinggi RM15,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:43 PM