RUMAH Tradisional Negeri Sembilan yang masih terpelihara di Muzum Negeri.
RUMAH Tradisional Negeri Sembilan yang masih terpelihara di Muzum Negeri.
Suliati Asri


Reka bentuk rumah tradisional Negeri Sembilan sering dikaitkan dengan rumah adat Minangkabau di Sumatera Barat.

Namun hakikatnya, reka bentuk dan seni bina rumah tradisional Negeri Sembilan banyak dipengaruhi reka bentuk rumah Riau Sumatera.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad berkata, pihaknya akui terdapat kekeliruan berkaitan reka bentuk rumah tradisional ini.

Menurutnya, mengikut kepada sejarah rumah Negeri Sembilan ini lebih dekat dengan rumah tradisional di Riau, Sumatera.

"Sebelum sampai ke Negeri Sembilan, semasa perjalanan orang Minangkabau merantau ke sini, mereka singgah di Riau dan sebab itu sebenarnya banyak makanan, rasa dan pakaian masyarakat Negeri Sembilan hampir sama dengan kawasan tertentu di Riau," katanya.

Berbalik kepada reka bentuk rumah tradisional Negeri Sembilan, Dr Shamsuddin berkata, kalau dilihat dengan teliti, reka bentuk kedua-dua rumah tradisional itu tidak sama dan ia sangat ketara pada bentuk bumbungnya.

"Rumah tradisional Negeri Sembilan mempunyai bumbung berbentuk panjang dan hanya lentik sedikit pada bahagian hujung.

"Manakala rumah Minangkabau pula, secara jelas dilihat bumbungnya melentik seperti tanduk kerbau atau dikenali sebagai bumbung gondang," katanya.

Selain bumbung, Dr Shamsuddin berkata, perbezaan kedua rumah tradisional itu dapat dilihat di bahagian serambinya.

"Rumah Melayu Negeri Sembilan mempunyai tiga serambi iaitu serambi utama, tengah dan serambi pangkal. Rumah ini juga mempunyai rumah ibu, ada gajah menyusur dan dapur.

"Tetapi rumah Minangkabau, walaupun ia mempunyai serambi, bilik yang terdapat pada rumah itu hanya dua dan berhadapan terus dengan serambi serta tidak mempunyai rumah ibu.

"Kalau istana di Minangkabau pula, ia mempunyai pintu yang banyak di depan serambi. Kalau ia bukan istana, pintunya tidak banyak . Jadi, fungsi ruang itu sudah berbeza," katanya.

Mengulas lanjut, warna rumah Minangkabau terutama istana atau rumah orang berjawatan tinggi adalah berwarna-warni iaitu merah, kuning dan hitam.

"Berbeza dengan rumah tradisional Negeri Sembilan yang mana ia hanya menggunakan satu warna iaitu warna kayu atau mengikut cat dipilih pemilik.

"Jadi, secara jelas kalau dilihat dari fizikal, rumah tradisional Negeri Sembilan ini berbumbung panjang dan hanya melentik sedikit di hujung dan bukannya seperti rumah Minangkabau yang tetlalu ketara lentik pada bumbungnya," katanya.

Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM4 juta untuk membaiki bangunan dan rumah warisan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif Projek Bangunan dan Rumah Warisan Negeri diperkenalkan tahun lalu bertujuan membaiki binaan bangunan dan rumah yang mempunyai nilai sejarah tinggi di negeri ini

KEHALUSAN seni binanya menjadikan rumah tradisonal Negeri Sembilan ini unik.
KEHALUSAN seni binanya menjadikan rumah tradisonal Negeri Sembilan ini unik.

"Program itu bertujuan memulihara, memelihara serta menjadi bangunan dan rumah tradisional itu sebagai bahan kajian.

"Dengan itu, pengunjung mahupun penyelidik yang datang boleh melihat sendiri bangunan dan rumah tradisional bercirikan Negeri Sembilan," katanya.

Tersergam indah bersebelahan dengan Istana Ampang Tinggi di Muzium Negeri, Seremban, rumah tradisional Negeri Sembilan menanti pengunjung yang ingin melihat sendiri keunikan dan kehalusan reka bentuk serta seni binanya.

Rumah yang sarat dengan seni bina halus Negeri Sembilan ini dibina pada abad ke-18 adalah milik Allahyarham Tunku Syed Ismail iaitu anak ketiga kepada Datuk Klana Petra Sued Abdul Rahman Undang Luak Sungei Ujong dengan isterinya Cik Kundur Wan Jaebah.

Asalnya rumah itu terletak di Kampung Air Garam di Mambau (kini sudah tiada) pada kedudukan strategik berdekatan Sungai Linggi yang menjadi laluan pengangkutan utama ketika itu.

Ia kemudian dipindahkan ke Taman Tasik Seremban yang dulu dikenali sebagai Lake Garden pada awal 1990-an dan kini, rumah tradisional ini diletakkan di muzium negeri.

Uniknya, ia pernah dibuka dan dipasang semula sekurang-kurangnya empat kali sejak kira-kira 150 tahun lalu dan rumah tradisional ini pernah dipamerkan lebih setahun di London, United Kingdom pada 1924.

Masih berada dalam keadaan kukuh dan sempurna di muzium negeri, rumah itu diangkat sebagai Rumah Contoh Negeri Sembilan dan diiktiraf sebagai Bangunan Warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) pada 2013.

Pengiktirafan itu sesuai dengan nilai sejarahnya yang penting kepada jati diri masyarakat negeri ini kerana dibina sebagai kediaman pemerintah Sungei Ujong dengan falsafah dan seni bina Melayu Negeri Sembilan yang tinggi.

Rumah dibina menggunakan kayu berkualiti tinggi seperti cengal dan jati ini sangat unik kerana tidak menggunakan paku, sebaliknya menggunakan tanggam dan pasak.

Hal itu membolehkan ia dibuka dan dipasang semula tanpa merosakkan struktur serta seni binanya.

Antara bahagian penting dalam rumah tradisional Negeri Sembilan itu adalah serambi, ruang ibu, bilik kelamin dan loteng, selain dapur yang berada di belakang rumah di bahagian luar.

Pintu rumah direka agak kecil dan rendah, manakala bilik pula sengaja tidak dibina banyak di dalam rumah, sesuai dengan falsafah serta amalan gaya hidup Melayu lama Negeri Sembilan.

Rumah tradisional ini hanya ada satu bilik untuk pasangan pemilik atau anak perempuan sahaja kerana kebiasaannya anak lelaki lebih banyak meluangkan masa termasuk tidur di masjid untuk mendalami agama Islam, sebelum keluar merantau apabila dewasa.

Bahagian serambi yang dikhususkan untuk orang lelaki dibahagikan kepada dua iaitu serambi hujung menempatkan pembesar atau pemimpin masyarakat, manakala serambi pangkal untuk orang muda ketika majlis keraian atau mesyuarat.

Ruang rumah ibu atau ruang tengah dikhaskan untuk golongan wanita, manakala loteng pula wajib ada untuk dijadikan stor bagi menyimpan bekalan makanan serta barangan berharga, selain menjadi tempat persembunyian anak perempuan dan ibu jika diserang musuh.

Rumah yang masih tegak berdiri itu memainkan peranan penting sebagai rujukan utama identiti sebenar rumah tradisional Negeri Sembilan.

Ia juga bukti artifak perbezaan rumah seni bina Minangkabau dengan rumah Melayu Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 6:45 AM