SHAFIE  bergambar bersama salah sebuah kapal yang kini dibinanya.
SHAFIE bergambar bersama salah sebuah kapal yang kini dibinanya.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Sekali pandang, suasana di Pulau Duyong tidak ubah seperti perkampungan Melayu yang lain, begitu mendamaikan dan dalam masa yang sama meriah.

Sesekali kita akan dapat beberapa orang bersantai di beranda atau tangga rumah, dan kanak-kanak berkejaran diikuti dengan gelak-ketawa.

Namun, siapa sangka Pulau Duyong yang berkeluasan hanya 2.7 kilometer persegi dan terletak di muara Sungai Terengganu ini, kaya dengan khazanah warisan dan mendapat tempat di peta pelancongan dunia.

Kedudukannya yang terletak strategik sebagai pintu masuk ke Bandar Kuala Terengganu melalui jalan laut oleh para pedagang dan pelaut suatu ketika dahulu, menjadikan pulau itu terkenal sebagai pusat pembinaan bot tradisional dan kapal layar sehingga hari ini.

Walaupun pelbagai usaha kerajaan membangunkan kawasan itu menjadi tumpuan pelancong serta untuk keselesaan penduduknya, namun tradisi perkampungan Melayu nelayan sejak turun-temurun masih lagi dikekalkan sehingga ke hari ini.

Sebelum dikenali sebagai Pulau Duyong, pulau ini dikenali dengan nama Pulau Peria. Namanya ditukar selepas penduduk pulau melihat dua ekor ikan duyung, dipercayai ibu dan anak, mendarat di pulau berkenaan.

SHAFIE  menunjukkan pasak kayu yang digunakan bagi pembuatan bot.
SHAFIE menunjukkan pasak kayu yang digunakan bagi pembuatan bot.

"Selain itu, ada juga cerita yang mengatakan pulau ini diberi nama Pulau Peria kerana bentuk muka bumi pulau ini yang dikatakan seakan-akan buah peria.

"Oleh kerana tidak ada sepohon pun pokok peria untuk dijadikan bukti bagi bagi mensahihkan nama pulau berkenaan ketika peristiwa ikan duyung mendarat, penduduk sebulat suara bersetuju untuk menukarkan nama Pulau Peria kepada Pulau Duyong," demikian tukang pembuat bot tradisional Pulau Duyong, itu, Shafie Abdullah, 71.

Pulau Duyong yang merangkumi Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil dilaporkan terbentuk secara semula jadi apabila berlaku pemendapan dan longgokan pasir yang mengubah muka buminya.

Selain menjadi destinasi persinggahan pelancong ketika penganjuran Piala Monsoon pada tahun 2005, industri pembuatan bot serta kapal layar tradisional bertaraf antarabangsa turut menjadi kebanggaan buat penduduk kampung Pulau Duyong.

Dengan sejarah negeri Terengganu yang terkenal dengan masyarakat pelayar tradisi dan kawasan perdagangan penting buat saudagar Islam, tidak hairanlah pulau itu menjadi tumpuan para pelayar dari seluruh pelusuk dunia untuk mendapatkan hasil pertukangan kapal lebih berkualiti.

Selain itu, Pulau Duyong juga menjadi tempat rujukan buat pengkaji sejarah seni bina dan pengukiran bot dan kapal layar tradisional kerana kehalusan pembuatannya selain menggunakan ciri-ciri tradisional elemen Melayu yang tidak menggunakan paku.

Pada masa ini terdapat dua orang lagi pengusaha bot di Pulau Duyong di samping Shafie iaitu Abdullah Muda dan Hassan Ali, yang menghasilkan dari sekecil-kecil bot hinggalah kepada kapal layar atau mewah yang mencecah sehingga jutaan ringgit setiap tahun.

Menurut Shafie yang sinonim dengan panggilan Pok Awi, terdapat banyak bengkel membuat bot dan kapal layar di pulau itu sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, menjadikan perkampungan itu riuh dengan bunyi-bunyi pertukangan setiap hari.

"Lebih membanggakan, bot-bot jenis kayu hasil pertukangan Pulau Duyong juga mampu belayar menempuhi ombak besar sehingga ke Madagascar, Afrika Selatan, Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta mampu bertahan sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya.

"Ketika itu, kami mendapat banyak tempahan bot serta kapal mewah dari dalam dan luar negara sehinggakan tidak menang tangan. Namun kini semuanya tinggal kenangan kerana tempahan sudah berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Ketika perusahaan itu sedang memuncak, di samping pelanggan tempatan, peminat bot dan kapal layar serata dunia seperti Amerika Syarikat, Alaska, England, Itali, Perancis, Denmark, Australia, New Zealand, Algeria, Kanada dan Singapura turut membuat tempahan.

Menurut Shafie, pada sekitar 1950-an hingga 1960-an, harga bahan mentah seperti kayu cengal hanya sekitar RM300 sahaja dan kemudiannya meningkat dari semasa ke semasa sehinggalah paras kemuncaknya sekarang, antara RM16,000 hingga RM20,000 setan.

"Disebabkan kos bahan yang meningkat mendadak, ramai tukang pembuat bot sudah berputus asa dan tidak mahu meneruskan lagi. Kini hanya tinggal kami bertiga sahaja yang masih meneruskannya di Pulau Duyong sehingga hari ini," katanya yang berkecimpung dalam industri pembuatan bot sejak 46 tahun lalu.

Shafie sedang menyiapkan sebuah kapal layar yang ditempah sejak tahun lalu dengan panjangnya 54 meter, lebar 17 meter dan kedalaman, sekitar 2.4 meter.

PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat salah sebuah kapal yang dibina oleh Shafie.
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat salah sebuah kapal yang dibina oleh Shafie.

"Biasanya saya seorang buat kerja. Kadang-kala dibantu oleh anak lelaki saya. Kapal bersaiz begini biasanya akan mengambil masa setahun hingga setahun setengah untuk disiapkan sehingga ia boleh bergerak lancar.

"Setiap bot dan kapal dihasilkan menggunakan skru dan kaedah pasak kayu. Kaedah itu dikatakan dapat menjamin kualitinya lebih tahan lama dan tidak mudah bocor ketika berada di atas air," kata bapa kepada lapan orang anak.

Menurut beliau, bagi memastikan tradisi pembuatan bot dan kapal layar dapat diwarisi secara turun-temurun, selain ahli keluarga, ada agensi kerajaan yang turun padang bagi menyelamatkan perusahaan mereka daripada lenyap begitu sahaja.

"Pusat Giat Mara Terengganu dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) cuba untuk merakam dan menghantar pelatih mereka bagi mempelajari daripada kami cara-cara membuat bot dan kapal layar.

"Kami sanggup membimbing golongan muda ini sehingga mereka boleh menguasai kemahiran itu kerana sayang sekali industri ini jika tidak dipelihara dan diwarisi, akan berkubur begitu sahaja," katanya.

Shafie berkata, bengkelnya sentiasa dikunjungi oleh pelancong sama ada dari dalam dan luar negara sepanjang tahun untuk melihat secara dekat, cara-cara membuat bot tradisional secara percuma.

Tidak jauh daripada bengkel pertukangan dan pembuatan bot Pok Awie, terletaknya sebuah rumah lama mirip sebuah istana kecil raja Melayu lama yang mempunyai seni bina yang unik dengan pengaruh Islam campuran Mesir.

Mana tidaknya, Kota Lama Duyong yang dibina pada tahun 1919 itu merupakan peninggalan rumah lama yang pernah dijadikan sebagai pusat pendidikan agama dan tempat belajar mengaji Al-Quran pada masa dahulu.

Menurut Penolong Kurator Muzium Terengganu, Munirah Embong, kota lama berkenaan dibina oleh seorang bekas hakim negeri itu iaitu Datuk Biji Sura atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Duyong.

SHAFIE  sedang menyiapkan sebuah kapal layar yang ditempah sejak tahun lalu.
SHAFIE sedang menyiapkan sebuah kapal layar yang ditempah sejak tahun lalu.

"Tukang yang ditugaskan untuk membina kota ini terdiri daripada bangsa Melayu dan Cina Singapura yang menggunakan batu-bata dan putih telur sebagai pengganti simen, dicampur bersama pasir, madu, batu kecil dan tanah liat.

"Ia mempunyai sembilan bumbung utama yang bersambungan dengan bahagian dapur, bilik mandi, sarung, beranda dan titian. Pagar konkrit dan tiangnya memperlihatkan seni bina Mesir," kataya.

Bangunan tersebut juga diiktiraf sebagai salah satu keajaiban seni bina masyarakat Terengganu dan menjadi daya tarikan unik kepada pelancong apabila memaparkan artifak tempatan dan menjadi bukti sejarah perkembangan Islam.

"Ia telah dijadikan sebagai galeri pameran kendalian Muzium Terengganu. Antaranya yang dipamerkan adalah artifak lama seperti tembaga, barang-barang dapur yang pernah digunakan suatu ketika dahulu, selain hasil kraftangan dan sejarah mengenai Kota Lama Duyong," katanya.

Munirah berkata, pulau itu menyumbangkan perkembangan Islam di Terengganu apabila Tok Syeikh Duyong menggunakan kota lama itu sebagai tempat penyebaran agama dan pondok pengajian agama Islam.

"Disebabkan tempat mengajarnya di Pulau Duyong, maka namanya melekat dengan gelaran Tok Sheikh Duyong dan pondok pengajiannya, didatangi pelajar bukan sahaja daripada negeri ini, malah dari beberapa negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 7:00 AM