ADA penghadang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.
ADA penghadang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

Rumah serambi Pahang milik bekas penghulu Mukim Kelola, Jerantut, Allahyarham Ismail Khatib Bakar dan isteri, Allahyarham Tijah Dolah ini menawarkan nilai sejarah tersendiri.

Kini rumah yang dibina pada 1924 itu dipindahkan ke Muzium Warisan Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor.

Ia mempunyai balai, serambi, rumah induk sebagai ruang privasi keluarga dan dapur selain dipasang secara pasak tanpa paku pada dinding atau lantai.

Rumah yang dibina dengan kayu cengal dan merbau itu memperlihatkan kreativiti tinggi masyarakat Melayu dalam menampilkan ciri binaan unik.

Keistimewaan rumah serambi Pahang juga terletak pada lebihan rasuk atau bahan binaan kediaman kayu yang berfungsi sebagai pengikat rangka rumah bagi tujuan penambahan ruang.

Jelas menunjukkan masyarakat Melayu pada masa itu sudah memikirkan perancangan untuk meluaskan rumah jika ada penambahan ahli keluarga.

Ini kerana kerja membuat atau menambah ruang baru menjadi lebih mudah dengan hanya memasang pasak kayu pada bahagian lebihan rasuk sedia ada.

Kewujudan tingkap labuh sedia ada di bahagian dinding turut memudahkan kerja pertukangan ketika proses penambahan keluasan kediaman dilakukan.

Ini kerana jurubina tidak perlu lagi bersusah payah membina laluan baru ke ruang tambahan.

Malah, rumah serambi Pahang juga mempunyai penghadang (dikenali bendul bagi rumah tradisional lain) setinggi kira-kira 0.4 meter yang berfungsi sebagai pintu masuk dari rumah ibu ke serambi.

Penghadang itu antara ciri keselamatan yang berfungsi melengah atau melambatkan tindakan individu yang membuat serangan bagi membolehkan tuan rumah mengambil langkah menyelamatkan diri atau bersiap siaga mempertahankan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2016 @ 5:02 AM