RUMAH tradisional Terengganu ini turut dikenali sebagai rumah tiang seribu.
RUMAH tradisional Terengganu ini turut dikenali sebagai rumah tiang seribu.
NILAI estetika pada bahagian dalaman dan siling benar-benar menarik perhatian.
NILAI estetika pada bahagian dalaman dan siling benar-benar menarik perhatian.
PROSES pembinaan rumah Terengganu ini menggunakan sistem tanggam dan pasak, tanpa paku besi.
PROSES pembinaan rumah Terengganu ini menggunakan sistem tanggam dan pasak, tanpa paku besi.
RUMAH Datuk Raja Diwangsa menampilkan seni bina beranjung dengan tebar layar bertingkat tiga.
RUMAH Datuk Raja Diwangsa menampilkan seni bina beranjung dengan tebar layar bertingkat tiga.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Sarat dengan nilai estetika dan falsafah binaan membuatkan setiap rumah tradisional Melayu sering dikaitkan dengan sejarah tersendiri.

Dalam usaha memartabatkan keunikan itu, Muzium Seni Warisan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, kini mempunyai empat rumah tradisional sebagai perkongsian maklumat untuk tatapan masyarakat negara ini.

Menurut Pengarahnya Dr Muhammad Pauzi Abd Latif, antara peranan muzium itu ialah menjalankan penyelidikan berkaitan warisan dan budaya masyarakat Melayu.

“Selain mempamerkan artifak berkaitan warisan Melayu, kami berusaha meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai khazanah tidak ternilai itu.

“Rumah Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunus Jabar yang dibina pada tahun 1935 di Kampung Merual, Negeri Sembilan, umpamanya menampilkan seni bina beranjung dengan tebar layar bertingkat tiga.

“Ia dilihat signifikan dengan rumah pembesar istana kira-kira tiga kilometer dari Istana Seri Menanti,” katanya.

Malah, rumah itu ada enam tiang gantung tidak menjejak bumi, antara ciri yang hanya boleh digunakan pada rumah pembesar Negeri Sembilan.

Mempunyai lima bahagian utama iaitu anjung tempat menerima tetamu dan bermesyuarat bagi ketua masyarakat manakala ruang serambi tempat meraikan serta menjamu tetamu Rumah induk pula menjadi ruang keluarga, loteng diubah suai menjadi bilik anak perempuan dan ruang kelek anak berhubung dengan dapur.

Awalnya rumah itu dibina pada tanah rendah berdekatan sawah padi, namun dipindahkan ke kawasan berbukit pada tahun 1935.

Syiling bertarikh 1935 ditemui di bawah tiang seri dipercayai diletakkan ketika pembinaan semula rumah itu pada tahun sama.

“Kerja pemindahan rumah Datuk Raja Diwangsa atau dikenali sebagai Tok Tonso ini ke Muzium Seni Warisan bermula pada Februari 2013 dan siap Mei tahun sama.

“Pembinaan semula agak rumit kerana banyak bahagian rumah sudah musnah atau hilang dan pihak muzium perlu membeli dua rumah lama lagi untuk mendapatkan bahagian seperti pintu, tingkap serta dinding.

“Ia bagi membina semula rumah ini menyamai reka bentuk asalnya,” katanya.

Kediaman kedua membabitkan rumah Uda Noh Kanda Jaafar yang dibina pada tahun 1901 di pinggir Sungai Perak, Kampung Pendiat, Bota Kanan.

Rumah pendekar itu memperlihatkan seni bina kutai iaitu antara seni bina rumah terawal di negeri berkenaan kira-kira 60 kilometer dari Bukit Chandan, tempat bersemayam Sultan Perak.

Ia dibina dengan mengambil kira pelbagai aspek keselamatan seperti lubang senjata di sisi pintu, ruang persembunyian, tangga curam dan selak pintu yang kukuh selain menggunakan kayu cengal.

“Apabila dipasang semula di muzium ini hanya bahagian lantai digantikan dengan kayu baru selain atap menggunakan material onduline.

“Ia atap keluaran tempatan yang diperbuat daripada bahan campuran getah dan bitumen. Ia didapati menyerap haba, lebih kedap bunyi dan kalis api.

“Rumah ini ‘dibuka’ semula pada November 2013 dan siap dipasang sepenuhnya di muzium pada Februari 2014,” katanya.

Tidak ketinggalan rumah Wan Muda Wan Hassan yang dibina sekitar tahun 1860-an di pesisir laut Kampung Tanjung, Kuala Terengganu turut menarik perhatian sesiapa saja yang berkunjung ke muzium berkenaan.

Rumah juragan yang membabitkan seni bina kediaman bujang berselasar ini turut dikenali rumah tiang seribu.

Proses pembinaannya menggunakan sistem tanggam dan pasak tanpa paku besi.

“Dindingnya jenis janda berhias dan atap singgora iaitu sejenis atap yang diperbuat daripada tanah liat dan banyak digunakan di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

“Ia terdiri daripada dua ruang, iaitu selasar (serambi) dan rumah ibu. Bahagian lantai menggunakan pasak, sama dengan sistem pembinaan ‘badan’ sampan dan kapal tradisional.

“Diserahkan pada Mac 2014 dan siap dipasang semula di Muzium Seni Warisan pada April tahun sama,” katanya.

Melengkapkan ruang yang ada, Rumah Serambi Pahang milik Allahyarham Ismail Khatib Bakar iaitu penghulu Mukim Kelola, Jerantut, Pahang.

“Rumah ini cukup istimewa kerana selama kami terbabit mencari rumah lama, inilah satu-satunya yang mempunyai balai dan struktur kayunya masih utuh walaupun berusia 91 tahun.

“Ia ada bahagian balai, serambi, rumah induk sebagai ruang privasi keluarga dan dapur.

“Selain dipasang secara pasak tanpa paku, tiada pengubahsuaian dilakukan kecuali bahagian dapur.

“Proses buka dan bina semula rumah itu bermula sepenuhnya pada Februari lalu dan siap untuk dikunjungi pada April lalu,” katanya yang begitu mengagumi seni bina Melayu apabila binaan­nya mengambil kira situasi jangka panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 4:49 AM