Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Timbalan Pendakwa Raya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mengambil dadah, 1 Oktober lalu.

Tertuduh, Muhamad Abu Hassan Ramli, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh mengambil dadah jenis methamphetamine di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, kira-kira jam 3.30 pagi, 1 Oktober lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Narkotik Evawani Farisyta Mohammad dan Nurfaida Mohd Rashidee manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Farhan Read.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,200 dan menetapkan 24 November untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 2:20 PM