FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Aizat Sharif


LEBIH sejam diambil jurubahasa mahkamah untuk membaca 39 pertuduhan terhadap pensyarah kanan universiti awam dan kontraktor di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Pensyarah bergelar Profesor Madya itu dan kontraktor berkenaan menghadapi tuduhan salah guna kuasa dan penyelewengan dana aktiviti untuk Universiti Utara Malaysia (UUM) bernilai hampir RM2 juta pada 2013 hingga 2015.

Bagaimanapun, tertuduh Hartini Ahmad, 49, dan Nazrul Idham Abu Nasir, 42, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Hartini menghadapi 33 pertuduhan membuat tuntutan palsu dan menyalahgunakan kuasa ketika menjadi pengarah di Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM.

Dia didakwa memperdaya Jabatan Bendahari UUM menggunakan dokumen palsu bagi meluluskan tuntutan membekal dan menyediakan modul latihan untuk peserta program anjuran CUIC, Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) serta beberapa lagi program latihan membabitkan UUM dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjumlah RM1.48 juta, antara 2013 hingga 2015.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 18 dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Manakala, Nazrul Idham pula yang bertugas sebagai kontraktor didakwa terhadap enam pertuduhan melakukan tuntutan palsu berjumlah RM492,000, dengan mengemukakan dokumen kepada CUIC UUM untuk membekal dan menyediakan perkhidmatan pakej latihan ICoE pembangunan modal insan dalam sektor pemborongan dan peruncitan, antara Mac hingga Jun 2015.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 yang boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun atau dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah tuntutan berkenaan atau yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Kedah Tan Sew Ping, manakala Hartini dan Nazrul Idham masing-masing diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar serta Evawani Farisyta Mohammad.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin bersama seorang penjamin dengan Hartini dikenakan RM65,000 bagi semua pertuduhan dan RM25,000 kepada Nazrul Idham.

Kedua-duanya membayar jaminan itu.

Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 4:33 PM