TRAORE (tengah) ledak 20 gol bersama PDRM musim ini.
TRAORE (tengah) ledak 20 gol bersama PDRM musim ini.
Oleh Rodly Fadly

Kuala Lumpur: Reputasi penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dramane Traore sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 20 gol, membuka mata empat pasukan bersaing mendapatkan khidmatnya untuk musim depan.

Mendedahkan perkara itu, ejennya, Alfa Potobawi berkata, keempat-empat pasukan berkenaan menghubunginya dan menyatakan minat terhadap Traore namun perbincangan lanjut hanya akan dilakukan selepas kontrak pemain itu dengan PDRM tamat hujung musim ini.

“Keempat-empat pasukan itu daripada Liga Super dengan semua memiliki reputasi tinggi dalam bola sepak Malaysia. Namun, buat masa sekarang, saya tidak boleh mengadakan perbincangan rasmi dengan mana-mana pasukan kerana Traore masih terikat dengan PDRM.

“Kami perlu menghormati PDRM sebagai majikan Traore, apatah lagi tugasannya bersama pasukan itu belum selesai. Sebarang tawaran hanya akan diperhalusi dan dibincangkan selepas Traore bebas daripada kontrak,” kata Potobawi.

Menurut Potobawi, walaupun PDRM sendiri menampakkan minat menyambung kontrak Traore namun dia mengambil sikap membuka ruang kepada sebarang tawaran.

“Pihak pengurusan PDRM sudah menyatakan minat untuk menggunakan khidmat Traore kerana mereka sangat berpuas hati dengan prestasi dan disiplinnya. Begitupun, setakat ini tiada sebarang tawaran rasmi diberikan.

“Traore sendiri memang gembira dan puas hati dengan layanan PDRM sepanjang mewakili pasukan itu. Malah, dia berasa terhutang budi kepada mereka yang membuka ruang kepadanya untuk bermain di Malaysia.

“Tapi, sebagai profesional, sudah tentu dia akan memilih tawaran terbaik untuk dirinya. Oleh itu, PDRM perlu bersaing dengan empat pasukan lain jika benar-benar berminat dengan Traore.

“Begitupun, keputusan menerima atau menolak sesuatu tawaran bergantung pada banyak faktor. Selain gaji, kami akan memastikan pasukan bakal dipilih kelak memiliki pengurusan cekap dan profesional,” ujarnya.

Potobawi berkata, selain pasukan tempatan, Traore turut dirisik sebuah kelab Divisyen Dua Itali dan kelab Divisyen Satu Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:20 AM