ARMIN Maier. FOTO Agensi
ARMIN Maier. FOTO Agensi
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak kacukan Malaysia-Jerman, Armin Maier berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membantunya mendapatkan pasport Malaysia sekali gus mahu memperkuatkan skuad Harimau Malaya selepas ini.

Armin, 25, kini sah beraksi dalam saingan Liga Jerman, SV Heimstetten yang beraksi di divisyen empat negara itu.

Jelasnya, kejayaan mengikat kontrak dengan kelab terbabit cukup bermakna di mana bukan mudah untuk meraih tawaran daripada Liga Jerman meskipun ia liga bawahan.

Lantas, Armin berharap kejayaannya itu membuka mata ramai pihak termasuk FAM untuk membantunya bagi mendapatkan pasport Malaysia dengan dia mengakui mahu menyumbangkan tenaga buat skuad kebangsaan.

"Saya gembira untuk mengumumkan bahawa saya menyertai SV Heimstetten yang berpangkalan di Munich, Jerman.

"Liga Jerman memang sangat kompetitif dan saya harap saya akan meningkatkan kualiti saya sebagai pemain apabila berdepan dengan pasukan seperti Bayern Munich.

"Saya juga berharap FAM akan memberi perhatian kepada perpindahan ini sekali gus membantu untuk merealisasikan impian saya iaitu mendapat pasport Malaysia seterusnya beraksi bersama Harimau Malaya.

"Terima kasih kepada semua penyokong yang mempercayai potensi saya dan terus berikan sokongan anda untuk saya," kata di laman Instagram miliknya.

Untuk rekod, dia yang lahir di Singapura pernah beraksi dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada musim 2019 sebelum menyertai Selangor FC selepas itu.

Begitupun disebabkan jarang berada dalam skuad Selangor, dia memutuskan untuk berhijrah ke Iceland dengan menyertai Vikingur pada musim lalu, sebelum ke SV Heimstetten musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 9:13 PM