TRAORE (dua kanan) nadi utama PDRM.
TRAORE (dua kanan) nadi utama PDRM.
Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali pasukan PDRM Mohd Fauzi Pilus mengakui berdepan saat sukar menyiapkan barisan pemain yang kini dilanda krisis kecederaan sambil berharap masalah itu segera diatasi sebelum sepak mula saingan Piala Malaysia bertemu juara bertahan Pahang, Sabtu depan.

Antara pemain utama mengalami kecederaan serius adalah rakan segandingan Ali Ashfaq di jentera depan iaitu Dramane Traore selain dua lagi nadi di bahagian tengah The Cops Jaime Braganca dan Lot Abu Hassan.

Menurutnya, persiapan dilakukan pasukannya sama sahaja dengan pasukan lain cuma persediaan skuad kendaliannya sedikit tempang susulan masalah kecederaan itu.

“Kami menghadapi sedikit kesukaran mempersiapkan pasukan sebelum bermulanya Piala Malaysia terutama kecederaan beberapa pemain penting.

“Traore dan Jaime nampaknya tidak sempat untuk pulih tetapi Lot saya lihat mempunyai peluang cerah untuk bermain nanti.

“Namun saya akan pantau tahap kecederaan dua pemain import itu kerana mereka adalah tunjang kepada kekuatan pasukan. Saya percaya pemain lain mampu mengisi tempat mereka sekiranya tidak sempat pulih sepenuhnya.

“Justeru, sesiapa sahaja boleh merebut tempat dengan syarat mereka tunjukkan persembahan terbaik sepanjang latihan,” katanya.

PDRM yang berada dalam Kumpulan D bersama-sama Pahang, Pulau Pinang dan PKNS FC berazam mengulangi pencapaian musim lalu apabila mara ke suku akhir sebelum disekat skuad Tok Gajah.

“Kebetulan musim ini pula PDRM sekumpulan dengan mereka. Saya harap kami mampu melepasi sekali lagi peringkat kumpulan dan menyamai pencapaian musim lalu ke suku akhir. Apapun saya mahu pemain fokus mencatat kemenangan pertama nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2015 @ 8:20 AM