SIAPKAN peralatan paintball untuk kejohanan.
SIAPKAN peralatan paintball untuk kejohanan.
CUBA mencari sasaran.
CUBA mencari sasaran.
Nurul Husna Mahmud


Kejohanan ASEAN Paintball Championships 2017 menyaksikan pertembungan hebat kalangan peserta apabila menampilkan 50 pasukan bagi empat divisyen sepanjang tiga hari kejohanan itu berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, baru-baru ini.

Menjangkakan perlawanan menarik terutama kategori divisyen satu apabila juara dunia Thailand tampil memberi saingan hebat kepada pasukan yang hadir bagi kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

Kejohanan itu sempena ulang tahun ASEAN ke-50, di samping kedatangan temasya Sukan SEA bakal berlangsung di Kuala Lumpur tahun ini dan serentak meraikan Hari Wilayah Persekutuan kebetulan pada bulan yang sama.

Penganjurnya iaitu komuniti sukan ekstrem, Liga Kampung turut mendapat sokongan Persatuan Paintball Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah program Mohd Zulfadhli Amiruddin berkata, lebih enam pasukan luar turut memeriahkan kejohanan kali ini.

“Pasukan luar antaranya Thailand sudah empat tahun menjadi juara, Singapura, Australia, China, Brunei dan Filipina.

“Bagi membolehkan pertandingan berjalan lancar, kami menyediakan dua gelanggang di mana dua perlawanan dapat berlangsung serentak. Rujukan kami mengenai standard penilaian berdasarkan standard antarabangsa seperti kejohanan dunia di Langkawi sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, bagi kehadiran pasukan luar, pihaknya berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu pemeriksaan ‘marker’ mahupun penanda sepanjang kejohanan berlangsung.

“Kami gembira pihak berkuasa memberi sokongan penuh terutama membabitkan logistik marker peserta luar melalui pemeriksaan PDRM dengan lancar.

“Kami berharap dapat menganjurkan kejohanan lebih besar serta menerima lebih banyak tajaan bagi menyokong perkembangan sukan Paintball ini,” katanya.

Pengurus dan jurulatih Thailand, Acha Aisawan menyifatkan pesaing terutama Malaysia tidak pernah menghampakan.

Katanya, mengakui potensi dimiliki pemain Malaysia, mereka gembira menyertai kejohanan berkenaan sebagai platform terbaik untuk mengukuhkan lapangan sukan itu.

“Meskipun kami juara dunia, tekanan jauh lebih besar kerana perlu mempertahankan gelaran.

“Sebenarnya Malaysia medan terbaik buat pemain saya memperkemaskan skil serta strategi dalam gelanggang.

“Berbanding di Thailand yang hanya ada puluhan kelab atau pasukan, Malaysia pada pengetahuan saya mempunyai lebih 200 pasukan aktif.

“Jadi Malaysia antara lokasi kejohanan terbaik dan kami gembira untuk menyertainya.

“Saya lihat banyak muka baru mempunyai skil menyertai sukan ekstrem ini,” katanya.

Sementara itu, Azman Kamal yang mewakili NL Darco berkata, kejohanan membabitkan pasukan luar ini penting bagi meningkatkan kualiti permainan.

“Sebagai pasukan lama kami mempunyai kelebihan ,namun pasukan baru sudah memerhati strategi serta corak pergerakan kami dalam gelanggang.

“Semestinya kami perlu tingkatkan skil, pelbagaikan taktik dan teknik dalam medan bagi mengekalkan reputasi selaku pendahulu divisyen satu.

“Pembabitan pasukan luar contohnya Thailand, Australia mahupun China memberi pendedahan berbeza mengenai corak mahupun gerakan mereka.

“Bukan untuk menang semata-mata sebaliknya lebih kepada rangkaian komuniti berkongsi minat. Harapan saya mewakili pasukan tempatan yang berentap dengan pasukan dunia seperti Thailand, kami berharap turut dapat memberi saingan dan dilihat pencabar hebat dalam kalangan peserta yang berkongsi divisyen sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 5:03 AM