AZIZUL tak bimbang prestasi di Cali.
AZIZUL tak bimbang prestasi di Cali.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Tiada kilauan pingat diraih pelumba negara di sirkit Piala Dunia Cali, Colombia yang berakhir semalam dengan pencapaian terbaik adalah menerusi Azizulhasni Awang.

Pelumba harapan negara kelahiran Terengganu berkenaan menamatkan saingan acara pecut di pusingan kedua dan tempat kesembilan keirin manakala Fatehah Mustapa, Jupha Somnet dan Mohd Shah Firdaus Shahrom kurang menyerlah dalam acara masing-masing.

Bagaimanapun menurut Azizulhasni, persembahan dipamerkannya di Cali bukanlah sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana memang sudah dijangka.

“Perancangan dan sasaran saya serta jurulatih (John Beasley) sudah tercapai. Prestasi saya berada pada landasan tepat,” katanya.

Menurut Azizulhasni, catatan masanya yang hampir mencecah bawah 10 saat dalam acara pecut semalam menggembirakannya dan memberikan motivasi untuk terus berusaha dengan gigih.

“Saya tewas di pusingan kedua serta peluang kedua di pusingan ‘repecharge’, tewas kepada pelumba Russia Denis Dmitriev yang kemudiannya muncul pemenang pingat emas,” jelasnya.

Sebelum ini, Azizulhasni turut menjelaskan persiapannya adalah masih pada peringkat awal dengan tumpuan utama menghadapi Kejohanan Trek Dunia dan Olimpik Rio tahun depan. 

Sementara itu, pelumba yang turut dikenali dengan panggilan Rocketpocketman itu melahirkan perasaan sedih selepas menerima berita bekas jurulatihnya Rozimi Omar yang meninggal dunia.

“Memang amat sedih dan terkejut. Sebelum berangkat ke Colombia, kami berbalas pesanan ringkas dengan beliau banyak bercerita mengenai kenangan kami berdua mula berkayuh.

“Antaranya terpaksa mengeluarkan duit sendiri, naik van buruk, tidur dalam khemah dan sebagainya semata-mata ingin menyertai perlumbaan. 

“Beliau ada menyuarakan keinginan untuk membuka galeri mengenai saya suatu hari nanti. Beliau bukan saja jurulatih saya sejak kecil malah lebih kepada kawan rapat dan abang. Banyak cerita suka duka kami bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:15 AM