AZIZUL (kiri) bersama pemenang pingat emas Kenny (tengah) dan Mullen. — FOTO Facebook Team Azizul
AZIZUL (kiri) bersama pemenang pingat emas Kenny (tengah) dan Mullen. — FOTO Facebook Team Azizul
Azlan Muhammad Zain


JAGUH trek negara, Azizulhasni Awang mula ‘panas’ pada kejohanan kedua yang disertai pada musim baru.

Pelumba bergelar The Pocket Rocketman itu meraih perak dalam acara pecut individu, kecundang di tangan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Jason Kenny dari Britain pada kejohanan Trek Antarabangsa Dublin di Ireland, awal pagi tadi.

Tempat ketiga diraih pelumba Ireland, Eoin Mullen yang mewakili Sundrive Track Team manakala Shah Firdaus Sahrom terkandas pada suku akhir apabila tewas kepada Azizul.

“Saya boleh terima keputusan ini, tewas kepada pemenang emas Olimpik yang berada dalam keadaan baik selepas baru pulang daripada temasya sukan di Eropah.

AZIZUL (kiri) bersama Beasley. — FOTO Facebook Team Azizul
AZIZUL (kiri) bersama Beasley. — FOTO Facebook Team Azizul

“Jika mahu dibandingkan dengan pelumba Eropah, kami agak bergelut dan tidak berada dalam keadaan terbaik kerana baru saja bermula dengan pelumba Eropah memulakan musim lebih awal,” jelas Azizul.

Semalam Shah Firdaus turut cemerlang apabila meraih gangsa acara keirin dengan Kenny meraih emas.

Ia kejohanan kedua pelumba trek negara di Eropah selepas menyertai perlumbaan Kelas 1 di Jerman minggu lalu.

“Ini sebahagian perancangan jurulatih (John Beasley) bagi latihan dan persediaan menghadapi siri Piala Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 10:37 AM