Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Azizulhasni Awang (gambar) mengaku dia berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Kejohanan Trek Dunia yang bermula di Hong Kong, hari ini.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Rio itu menanam hasrat untuk memburu emas pertamanya selepas 10 tahun beraksi di kejohanan berkenaan.

“Prestasi saya berada pada tahap terbaik dan sangat bermotivasi selepas kejayaan dalam acara keirin di Rio tahun lalu. Latihan sejak kebelakangan ini lebih banyak ditumpukan kepada acara keirin,” katanya.

Selain keirin, Azizulhasni yang digelar The Pocketrocket Man, turut mengesahkan tiket dalam acara pecut individu pada kejohanan yang mengumpulkan sebahagian besar pelumba trek terbaik dunia itu.

Tanpa pemenang tiga emas Olimpik Rio Jason Kenny yang tidak bersaing, nama Azizulhasni pantas menjadi antara tumpuan selain Callum Skinner (Great Britain), juara bertahan Joachim Eilers (Jerman), Denis Dmitriev (Russia), Matthijs Buchli (Belanda) dan Matthew Glaetzer (Australia).

“Saya belum melihat secara terperinci senarai pelumba yang hadir di Hong Kong namun ada bertemu dengan beberapa individu semasa latihan dan di hotel, kebanyakan pelumba handalan hadir kali ini.

“Namun saya hanya memberikan fokus kepada diri sendiri. Semua berjalan baik di Hong Kong dengan saya sudah mengharungi beberapa sesi latihan dan tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri,” tambahnya.

Selain Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom turut layak beraksi di Hong Kong dalam acara keirin dan ia adalah penampilan pertamanya.

“Dia perlu nikmati saat ini tanpa tekanan. Perjalanannya masih jauh dan ini adalah salah satu proses pembelajaran dan medan terbaik untuk melihat potensi diri bagi maju ke tahap lebih tinggi,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:05 AM