CHE TOM melihat rumahnya yang rosak akibat puting beliung di Kampung Sungai Nonang.
CHE TOM melihat rumahnya yang rosak akibat puting beliung di Kampung Sungai Nonang.
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Semalaman saya tidak dapat lelapkan mata kerana teringatkan pusaran puting beliung depan mata sehingga menyebabkan rumah kami sekeluarga ranap.

"Saya cuba lelapkan mata, tetapi masih terbayang-bayang apa yang berlaku petang semalam (kelmarin) sehingga adakalanya kerap terkejut," kata Che Tom Ahmad, 55, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Nonang, Jalan Kuala Kedah-Yan, di sini, semalam.

Menurutnya, mereka sekeluarga kini menumpang di rumah saudaranya yang terletak berhampiran kampung terbabit buat sementara waktu sehingga rumah mereka dibaik pulih sepenuhnya.

Katanya, dia kini memerlukan masa untuk memulihkan kembali semangatnya selepas melihat sendiri pusaran puting beliung itu menerbangkan zink dan kayu sebahagian rumahnya dalam masa lima minit.

"Saya jadi takut sebaik melihat keadaan cuaca bertukar mendung kerana bimbang berlaku sekali lagi kejadian yang tidak dijangka ini. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami tiga beranak selamat dalam kejadian itu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:15 AM