Puting beliung yang muncul di depan Zahid. FOTO INSTAGRAM ZAHID
Puting beliung yang muncul di depan Zahid. FOTO INSTAGRAM ZAHID
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Zahid Baharudin, 42, berdepan detik cemas apabila puting beliung setinggi bangunan tiga tingkat muncul depan mata ketika berada di kawasan Klebang berhampiran Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai, Ipoh, Perak yang dilanda ribut petang semalam.

Zahid yang ketika itu bersama isterinya Nurul Shuhada Osman, 27, berkata, mereka terpaksa berpatah balik dari kawasan itu kerana bimbang dilanda angin kencang berkenaan.

"Pertama kali saya lihat sendiri puting beliung depan mata. Mulanya saya tidak menyedarinya dan isteri yang memberitahu ada pusaran angin depan kami.

"Biasanya kalau dalam filem puting beliung akan bergerak dan jadi angin biasa selepas pusaran terlerai. Kami sempat melihatnya sekejap sebelum berpatah balik. Walaupun puting beliung itu terbentuk beberapa minit saja, serpihan zink dan pasir dari kawasan binaan berdekatan yang berterbangan terkena kereta kami," katanya.

Zahid yang juga juara Akademi Fantasia 2 (AF2) berkata, dia ke Ipoh untuk melawat ibunya.

Ketika kejadian itu, dia sepatutnya melalui kawasan itu untuk berjumpa ibunya.

"Mujur kami sempat berhenti sedikit jauh dari puting beliung itu. Selepas keadaan reda, barulah kami lalu di sana semula dan sedih tengok keadaan rumah berdekatan yang rosak," katanya.

Terdahulu, Zahid berkongsi rakaman pendek puting beliung itu di Instagram. Dalam video berkenaan, kelihatan sebuah pusaran debu yang agak besar dan tinggi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kawasan sekitar Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai terjejas selepas dilanda ribut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 1:51 PM